Mei 19, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar LAD rasai suasana perbicaraan, pelajari prinsip undang-undang secara praktikal

JOHOR BAHRU, 18 Jun – Pelajar tahun 1 program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur telah mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Tinggi Johor Bahru bagi memenuhi kursus Kontrak, Agensi dan Tort (SBET1063).

Kursus ini secara umumnya memperkenalkan pelajar kepada prinsip undang-undang berkaitan kontrak, agensi dan tort yang akan menjadi asas kepada pembelajaran undang-undang hartanah.

Antara aspek undang-undang yang dipelajari di dalam kelas adalah pembentukan kontrak, pelepasan kontrak, remedi bagi pelanggaran kontrak, pengenalan kepada undang-undang agensi, tort kecuaian dan tort lain berkaitan harta.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Seramai 52 pelajar tahun 1 telah mengikuti lawatan ini diiringi oleh tiga pensyarah pengiring iaitu Dr. Aminah Mohsin, Dr. Zafirah Ab. Muin dan Dr. Maryanti Mohd Raid.

Menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas! Oleh itu lawatan itu bertujuan menambah pengetahuan dan pengalaman kepada pelajar melalui aktiviti-aktiviti di luar kelas yang boleh mendorong mereka menimba sesuatu pengalaman baru dan merasai sendiri suasana berkenaan dan bukan sekadar teori sahaja.

Pengalaman yang mereka lalui dapat mengukuhkan lagi daya ingatan dan memberi peluang kepada pelajar untuk mengkaji, menganalisis dan membuat perbandingan apa yang mereka lihat dan pelajari.

 

Lawatan ini dimulakan dengan sesi penerangan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Puan Suhaila Shafiuddin mengenai prosedur prosiding perbicaraan dan juga etika sewaktu mendengar perbicaraan.

Kemudian pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan seterusnya masuk ke ruang galeri awam untuk mendengar perbicaraan kes yang sedang berlangsung.

Pelajar bukan sahaja mendengar perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi, malah turut dibawa alami suasana prosiding perbicaraan di Mahkamah Seksyen/Majistret. Selepas itu, pelajar telah didedahkan dengan fail-fail kes mahkamah yang telah diputuskan.

Melalui maklum balas yang diperoleh dari pelajar di E-Learning , pelajar telah memberi respon yang sangat positif dari lawatan ini.

Mereka menyatakan mendapat pengalaman dan pengetahuan yang baru dengan melihat dan merasai sendiri realiti prosiding perbicaraan kes di Mahkamah.

Seterusnya, ucapan terima kasih kepada Jabatan Harta Tanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur dalam menyokong dan meluluskan lawatan ini.

Diharapkan dengan pendedahan secara praktikal ini, para pelajar lebih memahami dan menghayati berkenaan dengan perundangan di Malaysia khususnya mengenai Kontrak, Agensi dan Tort.

Explore More