Disember 19, 2024

Pembelajaran hibrid dan anjal dalam konteks pendidikan tinggi negara kini sedang rancak dibincangkan. Situasi dan isu ini adalah rentetan daripada hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi yang disuarakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin awal bulan lalu sewaktu berucap sempena Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk U 2023 yang berlangsung di Universiti Malaya.

Sebagai sebuah universiti awam (UA) Malaysia yang cukup sinonim dengan bidang kejuruteraan dan teknikal, pada dasarnya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut baik akan perkara ini. Namun, dengan mengambil kira pembangunan kurikulum Universiti dan pengiktirafan program khususnya bagi pengajian prasiswazah yang turut melibatkan Badan-Badan Profesional menjadikan UTM perlu memperhalusi cadangan ini.

Dalam suatu temu bual bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali, beliau menyatakan bahawa Universiti sebenarnya telah pun merangka dan bergerak ke arah itu.

“Perancangan strategik melalui UTM enVision 2025 sememangnya selari dengan apa yang dihasratkan oleh YBM KPT, terutamanya menerusi UTM HyFlex. Kita memang sudah bergerak sejak 2022 untuk ke arah UTM HyFlex (hibrid dan fleksibel),” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali.

Seperti suatu kebetulan, tetapi inilah realitinya apabila UTM melalui strategi enVision UTM 2025 telah merencana pembangunan kurikulumnya agar selari dengan perubahan pendidikan semasa dunia. Meskipun buat masa ini belum ada lagi sebarang kata putus daripada pihak Badan Profesional bagi membolehkan kurikulum secara keseluruhannya dibuat mengikut kaedah anjal dan fleksibel, namun UTM telah mewujudkan Model Baharu Kerangka Kurikulum untuk Graduan Berorientasikan Masa Hadapan bagi menyambut hasrat UTM HyFlex tersebut.

Dalam membangunkan kerangka ini aspek adab dan nilai diberi keutamaan menerusi empat aspek atribut yang penting sebagai mahasiswa era baharu, iaitu dapat melaksanakan penyelesaian secara inovatif, menjadi warganegara yang konstruktif, mempunyai kemahiran berdaya usaha, dan memiliki kecerdasan sosial.

Atribut ini merupakan antara kemahiran insaniah yang wajar diterapkan ke dalam diri ‘sarjana muda’ kita agar apabila mereka memasuki ke alam pekerjaan sebenar, mereka akan menjadi insan yang bukan sahaja berilmu, malah insan yang boleh menghadapi dunia yang sebenar, boleh berdaya saing dalam kehidupan dan menyumbang kepada masyarakat.

Apabila ditanya berkenaan implikasi kewangan sekiranya tempoh pengajian dikurangkan dan dilaksanakan secara hibrid, beliau berpendapat kaedah ini membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda dan lepasan sekolah khasnya untuk menyambung pelajaran. Keadaan ini sekali gus akan meningkatkan kemasukan pelajar ke universiti. Dalam pada itu, pulangan yang diperoleh perlu dilihat bukan dari sudut kewangan semata-mata. Sebagai sebuah institusi pendidikan, pulangannya juga wajar dilihat dari sudut sosial.

“Kita sekarang tidak hanya berbicara soal return on investment (ROI) semata-mata, perhatian telah mula tertumpu kepada social return on investment (SROI). Dari segi sosial, universiti sememangnya menyumbang kepada negara. Namun, dari semasa ke semasa, dengan pelaburan yang sesuai (teknologi dan fasiliti), pulangannya akan memberi manfaat kepada lebih ramai masyarakat.”

Bagi mengimbangkan implikasi pelaksanaan kaedah ini, Universiti akan lebih kreatif meneroka kaedah yang lebih sesuai dan efektif agar semua pihak mendapat manfaat yang dihasratkan, disamping kepercayaan masyarakat terhadap institusi dapat diperkukuh.

Pembelajaran sepanjang hayat

Dalam era ini, semakin ramai anak muda yang beranggapan melanjutkan pendidikan ke tahap yang lebih tinggi bukan lagi keutamaan atas faktor kadar gaji dan peluang pekerjaan yang dikatakan semakin mengecil. Namun, Universiti berperanan untuk menyedarkan masyarakat di luar sana bahawa keperluan menuntut ilmu ke peringkat lebih tinggi itu penting demi kelangsungan hidup pada masa hadapan.

Justeru pembelajaran sepanjang hayat (life-long learning) haruslah menjadi rencana dalam kehidupan generasi muda sekarang. Walaupun ada sahaja pekerjaan yang boleh memberi pendapatan lumayan di saat mereka mampu berhempas pulas pada waktu ini, tetapi ilmu yang diperoleh daripada pembelajaran lanjutan boleh menjadi tiket alternatif menjana pendapatan dan menempuh cabaran pada masa hadapan.

Dengan pelaksanaan pembelajaran anjal, pendek mahupun fleksibel dan juga hibrid inisiatif ini haruslah tidak mengurangkan kualiti pendidikan tinggi itu sendiri bagi membolehkan generasi kini mendapat ilmu yang bermutu dan bermanfaat sepertimana yang diharapkan.

“Kita pendekkan atau anjalkan bukannya bermaksud kita mahu kurangkan kualiti. Tapi sebenarnya kita berhasrat untuk beri input yang lebih berkesan terhadap life-long learning. Ia tambahan kepada inisiatif-inisiatif seperti Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL), Open Distance Learning (ODL), micro credentials, Massive Open Online Course (MOOC) dan sebagainya,” tambah Prof. Hishamuddin.

Selain berperanan sebagi pentadbir akademik di UTM, beliau sebagai seorang pendidik berharap pendidikan di universiti kekal terus relevan dan menjadi satu institusi yang akan terus kekal berpaksi kepada unsur ilmu dan kemanusiaan.

Explore More