Oleh: Roshinie A/P Elagovan & Aida Julia Aminuddin
JOHOR BAHRU, 19 Mei – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Datin Seri Endon (JKM KDSE) dan Majlis Felow KDSE bersama-sama dengan UTM International (UTMi), Kelab Debat, Pidato & Pemikiran Kritis (DePikir), dan Unit Kebudayaan UTM telah menganjurkan Program Malaysian International Cultural Carnival (MICC) 2023 yang merupakan salah satu program UTM Top Bidder (UTB) 2022/2023.
Program ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 19 Mei 2023 dan 20 Mei 2023 di Dewan Seri Kencana, KDSE.
Program ini mendapat sambutan menggalakkan dari pelbagai negara, terutama dalam aktiviti Pertandingan Busana Tradisional dan Reruai Pameran Negara yang disertai oleh negara-negara seperti Pakistan, India, Bangladesh, Persatuan Mahasiswa Sarawak (MASSA), Kelab Toastmaster UTM, dan Unit Kebudayaan UTM.
Pelbagai persembahan tarian dan nyanyian dari negara-negara berbeza turut diadakan untuk menghiburkan tetamu yang menghadiri program ini.
Program ini juga menyediakan ruang dan peluang untuk pelajar dan vendor menjana pendapatan melalui aktiviti ‘carboot sales’ dan jemputan ‘food truck’ di kawasan dewan. Malah, Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Kolej Datin Seri Endon turut diadakan buat julung kalinya di MICC 2023.
Program MICC mendapat sambutan yang positif dari pelbagai pihak dan menyaksikan kehadiran ramai tetamu sepanjang berlangsungnya aktiviti. MICC 2023 membawa kemeriahan budaya antarabangsa ke Kolej Datin Seri Endon (KDSE) dan menggambarkan semangat kepelbagaian serta keunikan budaya dalam kalangan pelajar dan komuniti universiti.