Mei 2, 2024

Search
Close this search box.

Makmal Hidup Daya Tahan inisiatif atasi krisis dan bencana global akibat perubahan iklim

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Pada 16 Disember 2021, berlaku lekukan tropika (tropical depression) di pantai timur Semenanjung Malaysia, dan kemudiannya meliputi kawasan utama Semenanjung Malaysia, membawa hujan lebat tiga hari yang menjejaskan lapan negeri di seluruh semenanjung.

Hal ini telah mengakibatkan aliran puing dan tanah runtuh di hulu dan lereng bukit, banjir sungai, pantai dan bandar yang telah meragut lebih 50 nyawa, menyebabkan lebih 12,000 keluarga kehilangan tempat tinggal, menjejaskan lebih 40,000 orang, dan menyebabkan kerosakan dan kerugian yang bernilai bilion ringgit.

Hujan yang direkodkan adalah melebihi purata hujan selama sebulan dan telah menyebabkan bencana berkaitan sedimen, empangan, dan air telah menyebabkan sungai melimpah, menenggelamkan banyak kawasan, merosakkan kawasan perumahan, mengganggu infrastruktur kritikal, memutuskan jalan-jalan utama dan menjejaskan penyediaan perkhidmatan penting seperti air, makanan, kesihatan dan telekomunikasi.

Kejadian cuaca ekstrem termasuk hujan lebat yang lebih kerap akan menjadi lebih biasa akibat daripada perubahan iklim. Perubahan iklim telah menyukarkan ahli klimatologi untuk meramal cuaca dengan tepat.

Untuk mengurangkan isu ini, selain daripada menambah baik sistem pemantauan cuaca, pakar dan aktivis telah menggesa tindakan diambil untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.

Selaras dengan pendekatan perhubungan pembangunan kemanusiaan (HDN), semua usaha perancangan tindak balas, pemulihan, kesiapsiagaan dan daya tahan yang dibuat oleh MERCY Malaysia meliputi semua aspek pengurangan risiko bencana (DRR).

Program ini merupakan inisiatif strategik untuk menyetempat dan mengkontekstualisasikan DRR peringkat tinggi dan strategi daya tahan bagi kawasan yang terdedah kepada risiko seperti Hulu Langat.

Program ini berjalan selama dua hari iaitu pada 28 Mei di Hulu Langat, manakala 29 Mei di MJIIT UTM Kuala Lumpur.

Agenda utama program pada hari pertama lebih kepada lawatan lapangan dan program Pemerkasaan Wanita dan Kanak-kanak dalam pengurangan risiko bencana di Hulu Langat bersama peserta agensi kerajaan dan agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.

Sesi lawatan teknikal terbahagi kepada lima (5) tema yang berbeza untuk setiap tapak iaitu; Persediaan Bencana dan Sistem Awal Bencana (EWS), Kelangsungan Hidup (Membina Masyarakat Berdaya Tahan), Infrastruktur Berdaya Tahan, Penempatan dan Tempat Tinggal Berdaya Tahan dan Hak Ketersediaan Air Bersih.

Program ini juga mendapat liputan pihak media di mana Dr Khamarrul Azahari Razak, Pengarah Pengarah, Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur yang juga merupakan Exco Mercy Malaysia telah ditemubual oleh pihak BERNAMA.

Beliau menjelaskan melalui program ini masyarakat mampu mendapatkan maklumat berkenenaan proses Pembangunan Bingkas Pulih (Build Back Better) di kawasan terjejas akibat bencana, kerjasama rentas sektor dalam menuju masyarakat berdaya tahan. Sesi temubual boleh diakses menerusi https://www.youtube.com/watch?v=WBLLV4tfFQk

Hari kedua program pula memfokuskan kepada majlis pelancaran pelan induk makmal hidup berdaya tahan Mercy Malaysia, sesi plenari contoh makmal hidup dan sesi perbincangan teknikal bersama pakar bidang dari pelbagai sektor, latar belakang, kepakaran dan pengalaman hidup.

YBhg. Dato’ Ahmad Faizal Mohd Perdaus, Presiden MERCY Malaysia beliau berkata semasa sesi ucapan aluan “MERCY Malaysia berusaha untuk menggunakan pengetahuan yang dibangunkan daripada kerja-kerja kemanusiaan di Hulu Langat untuk menyokong penyelidikan, penglibatan masyarakat dan aktiviti pendidikan serta mengembangkan konsep Makmal Hidup di seluruh Malaysia.”

Sementara itu, Majlis Pelancaran Pelan Induk Makmal Hidup Daya Tahan (Resilience Living Lab Master Plan) telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Wira Azman Hj Mokhtar, Ahli Pemegang Amanah MERCY Malaysia dan Pengerusi, Lembaga Pengarah Universiti Malaysia hari ini.

Dalam ucapatama beliau, Tan Sri Azman menjelaskan kaedah terbaik untuk beradaptasi dalam mengatasi krisis yang timbul akibat bencana daripada kerentanan kemanusiaan dan risiko sistemik adalah melalui pendekatan Humanitarian Development Nexus (HDN).

Semasa sesi plenari, Profesor Dr Terrence Fernando, Salford University UK memberi penerangan terperinci berkenaan penerokaan teknologi dan contoh praktikal Makmal Hidup di Sri Lanka, UK dan Pakistan untuk sebagai penanda aras untuk disuai pakai di Malaysia.

Agenda hari kedua diteruskan dengan sesi perbincangan teknikal bersama pakar bidang dari pelbagai sektor, latar belakang,  kepakaran dan pengalaman hidup. Sesi perbincangan terbahagi kepada empat (4) kumpulan iaitu; Penglibatan Komuniti dalam Penilaian Risiko Bencana, Penglibatan Komuniti dalam Keperluan dan Kesan Akibat Bencana, Komuniti, Kebudayaan dan Sejarah – Pembangunan Modal Insan Berdaya Tahan dan Mewujudkan persekitaran komuniti berdaya tahan melalui Program Community Based Disaster Risk Reduction Management (CBRRM)

Explore More