Mei 20, 2024

Search
Close this search box.

JKM KTR perkukuh hubungan antarabangsa bersama pemimpin mahasiswa UNAIR dan ITS

SURABAYA, 20 Mei – Mendepani dunia kini yang semakin terhubung dan saling bergantung memerlukan gaya kepimpinan merentas sempadan. Gaya kepimpinan ini melibatkan kemampuan untuk beroperasi dan berkomunikasi secara efektif dengan individu dan organisasi dari pelbagai budaya, latar belakang, dan negara.

Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Razak (JKM KTR) sesi 2022/2023 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah menganjurkan program delegasi ke Universitas AirLangga, Surabaya yang melibatkan seramai 36 mahasiswa daripada UTM, 32 mahasiswa daripada Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), dan 12 mahasiswa daripada Universitas Airlangga (UNAIR) untuk saling berinteraksi, berbagi pengetahuan, dan memperluas jaringan dalam konteks akademik dan sosial.

Terdapat empat aktiviti dijalankan sepanjang delegasi ini. Delegasi ini dimulakan dengan perbincangan hala tuju sesebuah badan kepimpinan antara kepimpinan kolej kediaman dan persatuan universiti. Hal ini memberi peluang dan ruang kepada mahasiswa untuk melihat gaya kepimpinan di peringkat antarabangsa sekaligus menjalinkan hubungan kepimpinan diplomasi antara ketiga – tiga universiti.

Aktiviti yang dijalankan seterusnya adalah perbincangan kelompok berpusat dalam pelaksanaan perancangan mengadakan program diperingkat antarabangsa bagi memastikan delegasi ini bersifat berterusan antara kerjasama ketiga-tiga universiti. 

Delegasi diteruskan lagi dengan kunjungan ke fakulti dan fasiliti yang disediakan di kampus Universitas Airlangga. Hal ini dapat mewujudkan serta merapatkan hubungan mahasiswa dua negara untuk mengadakan perkongsian intelektual melalui pertukaran pengetahuan, dan pengalaman serta memperkuat hubungan bilateral.

Seterusnya, mahasiswa juga berpeluang ke rektorat Universitas Airlangga Kampus C yang merupakan salah satu mercu tanda terkenal yang terdapat di kampus itu. Sepanjang lawatan ini, mahasiswa dapat bertukar pengalaman, berkongsi pengetahuan, dan memperluas rangkaian mereka dengan mahasiswa dari budaya dan latar belakang yang berbeza.

Pengalaman unik dan kenangan yang tak terlupakan diciptakan ketika mahasiswa perlu menaiki motorsikal sepanjang menjalankan aktiviti. Perjalanan berkelompok dengan menggunakan motorsikal secara beramai-ramai mengeratkan lagi hubungan antara delegasi UTM dan ITS.

Secara keseluruhan, program ini adalah langkah yang baik dalam memperkuat hubungan kepimpinan diplomasi antara UTM, ITS, dan UNAIR serta merapatkan hubungan mahasiswa antara Malaysia dan Indonesia, seterusnya membawa manfaat dalam pemantapan kepimpinan mahasiswa, pertukaran pengetahuan, dan pengalaman budaya.

Mahasiswa berkunjung ke fasiliti di UNAIR.

Bergambar kenangan di hadapan Rektorat UNAIR.
Sesi perbincangan antara pemimpin mahasiswa UTM, UNAIR dan ITS.

Oleh : Siti Nur Najihah Binti Mohd Shah

Explore More