Mei 20, 2024

Search
Close this search box.

JKM KTR curah bakti di Batu Pahat, santuni penghuni Pusat Jagaan Maimunah

BATU PAHAT, 27 Mei – Seperti orang lain, warga emas juga mendambakan perhatian dan kasih sayang daripada waris mereka. Namun, ramai anak-anak enggan menjaga ibu bapa kerana banyak kekangan hingga memaksa mereka menempatkan ibu bapa ke rumah kebajikan warga emas.

Program Cakna Komuniti anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Razak yang melibatkan kolaborasi dengan jabatan kerajaan seperti Pejabat Menteri Besar Johor dan beberapa institusi seperti Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dapat memberi impak kepada para mahasiswa agar menjadi lebih bertanggungjawab sebagai seorang anak.

Program seperti ini juga dapat membantu menjaga kesihatan mental orang tua yang merasakan mereka dipinggirkan oleh anak- anak mereka dengan pelbagai aktiviti yang menarik.

Program Cakna Komuniti ini telah berlangsung pada 27 Mei 2023 yang bertempat di Pusat Jagaan Maimunah, Batu Pahat Johor. Seramai 70 peserta terlibat bagi menjayakan program ini yang terdiri daripada 10 mahasiswa UTM, 10 mahasiswa UTHM, dan 45 orang penghuni warga emas Maimunah.

Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa agar tidak lupa akan jasa kedua ibu bapa kita dan membalas jasa mereka selagi mereka masih ada serta melahirkan mahasiswa yang bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas sebagai seorang anak.

Tambahan pula, kolaborasi jabatan dan beberapa institusi dalam menjayakan program ini disamping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain.

Sebelum program bermula, Ujian Kendiri Covid-19 telah dilakukan bagi memastikan setiap orang peserta dalam keadaan yang sihat sebelum  menyantuni para warga emas .

Aktiviti yang dilakukan bersama para warga emas adalah fisioterapi. Aktiviti fisioterapi ini bertujuan bagi membantu individu memerlukan dalam memulih, mengekal serta memaksimumkan kekuatan, fungsi, pergerakan, dan kesejahteraan individu secara keseluruhan. Aktiviti fisioterapi yang telah dilakukan seperti senaman ringan dan bermain pas bola antara satu sama lain.

Pada masa yang sama, sebahagian daripada peserta telah membahagikan kerja untuk melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan sekitar rumah. Salah satu aktiviti gotong-royong adalah mengecat beberapa bahagian rumah, menyapu di halaman rumah, dan membersihkan bahagian atap. Kesan gotong-royong membersihkan rumah adalah dapat menjaga kebersihan terutamanya lepas pasca pandemik.

Sebahagian peserta lagi melakukan aktiviti menyantuni para warga emas dengan berborak bersama mereka, menghiburkan mereka dengan menyanyi, dan bermain menyusun susunan puzzle serta bermain dam haji. Kepentingan menyantuni para warga emas adalah mengangkat kasih sayang antara anak dan ibu bapa.

Setelah aktiviti gotong-royong membersihkan sekitar rumah dan menyantuni para warga emas selesai, penyerahan sumbangan  telah diserahkan oleh pengarah program Cakna Komuniti iaitu Nurul Nasuha Binti Zulkifli bersama-sama pihak UTHM kepada pihak Pusat Jagaan Maimunah.

Oleh: Rabiatul Adawiyah Shamuddin

 

Explore More