November 22, 2024

Search
Close this search box.

Cakna Komuniti: Platform warga KTR santuni penghuni warga emas Nur Ehsan

SKUDAI, 26 Mei – Dalam keadaan semasa dan ekonomi dunia yang memerlukan pekerja yang kompetitif dalam bekerja, ramai yang tidak sedar mereka telah melupakan keluarga mereka demi mengejar kekayaan dunia. Kelekaan anak-anak muda kini memberi implikasi yang lebih menyedihkan lagi apabila ada yang sanggup menghantar orang tua ke pusat jagaan mereka tanpa memikirkan perasaan ibu bapa masing-masing.

Namun, perspektif berbeza daripada sang anak kerana mereka menghantar orang tua mereka ke pusat jagaan agar memastikan kebajikan orang tua mereka terjaga.

Cakna Komuniti merupakan program berunsurkan kemasyarakatan anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Razak (JKM KTR) yang melibatkan beberapa kolaborasi institusi dan jabatan kerajaan. Antara pihak yang telah menjalinkan kerjasama dengan program ini ialah Pejabat Menteri Besar, Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Program Cakna Komuniti ini telah berlangsung pada 26 Mei 2023, bertempat di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Skudai Johor. Seramai 90 peserta terlibat dalam menjayakan program kemasyarakatan ini yang terdiri daripada 10 pelajar UTM, 10 pelajar MARSAH, dan 65 orang penghuni warga emas Nur Ehsan.

Program Cakna Komuniti ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada golongan mahasiswa menghargai jasa ibu bapa dan membalas jasa mereka. Program seperti ini juga dapat membantu menjaga kesihatan mental orang tua yang merasakan diri  mereka dipinggirkan oleh anak-anak sendiri dengan pelbagai aktiviti yang menarik.

Tambahan pula, kolaborasi dengan beberapa jabatan kerajaan dan institusi dapat membantu menjayakan program ini di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Program ini dimulakan dengan taklimat ringkas daripada pengurus Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, En. Mohamad Saiful Bin Zulkanain. Beliau telah berkongsi tentang sejarah pertubuhan pusat jagaan dan penghuni pusat jagaan tersebut.

Aktiviti diteruskan dengan ucapan penghargaan daripada pengarah program pihak UTM dan MARSAH iaitu saudari Nurul Nasuha Binti Zulkifli dan saudara Adib Syukri Bin Sanat.

Bagi memeriahkan lagi program ini, aktiviti santuni orang tua melibatkan mahasiswa UTM dan MARSAH dan penghuni pusat jagaan seperti slot berborak santai bersama orang tua membincangkan perkara-perkara yang dekat di hati mereka. Slot ini dapat memberi impak besar kepada kedua-dua belah pihak kerana luahan orang-orang tua dapat membuka mata setiap mahasiswa tentang penghargaan insan yang bergelar ibu bapa.

Aktiviti dimeriahkan lagi dengan permainan dam haji dan karaoke bersama warga emas. Kemeriahan program ini ditambah dengan bakat-bakat luar biasa daripada penghuni warga emas dan pelajar yang berduet bernyanyi pelbagai genre lagu yang menghiburkan.

Pada penghujung program, pihak penganjur telah menyampaikan beberapa jenis sumbangan kepada Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan berupa wang ringgit dan keperluan harian untuk membantu pengurusan kebajikan pusat jagaan tersebut. Sumbangan ini selari dan sesuai dengan slogan program ini, “Hidup ini indah saat kita dapat berbagi dengan sesama”

Aktiviti Santuni Orang Tua : Berborak Santai
Permainan dan haji bersama penghuni pusat jagaan
Aktiviti Sumbangan kepada pengurus pusat jagaan

Oleh: Nurul Nasuha binti Zulkifli

Explore More