April 25, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Siti Norhayati binti Md Yassin & Ar. IDr. Ts. Noraslinda Binti Abdul Rahman

PUTRAJAYA, 30 Mei – Institusi Pembangunan Felo (IPF) mewakili Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membentangkan cadangan penganjuran persidangan pembangunan pelajar peringkat antarabangsa iaitu International Conference on Student Development (ICoSD 2023) yang bakal dilaksanakan pada tahun ini. Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pendidikan Tinggi, En. Hirman bin Awang menyambut baik cadangan penganjuran ini dan akan bekerjasama bagi merealisasikannnya.

Pembentangan kertas kerja telah dibuat oleh Pengarah program iaitu Ar. IDr. Ts. Noraslinda binti Abdul Rahman bersama wakil-wakil IPF iaitu nama penuh Dr. Noor Mala Bt Ibrahim (Penasihat 1), Ts. Dr. Syamsul Hendra Mahmud (Penasihat 2), Cik Siti Norhayati binti Md Yassin (Setiausaha) dan En. Hemnaarth A/l Tanakaran (Ketua Biro Protokol).

ICoSD 2023 merujuk kepada konsep Malaysia Madani yang turut menyentuh keperluan aspek pendidikan adalah usaha untuk memartabatkan rakyat dan negara ini bagi memastikan ilmu menjadi keutamaan sekaligus melahirkan masyarakat yang tinggi dengan budaya ilmu.

Malaysia Madani yang diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejahterAan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Madani disasar untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka dalam usaha memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar.

Justeru, persidangan ICoSD 2023 adalah merupakan medan pemerkasaan mahasiswa dan pihak-pihak yang terlibat berkaitannya.

Manakala, Pelan Strategik UTM Envision 2021-2025 merangkumi pelan strategik universiti dalam menekankan pendekatan positif untuk memperkasakan dan memberi inspirasi kepada komuniti UTM agar berusaha dan berkembang maju di tengah cabaran semasa dan masa depan.

Pelan strategik tersebut menentukan keutamaan-keutamaan dalam mencapai sasaran. Ia berfokus pada memanfaatkan bakat melalui penyampaian prestasi yang kreatif dan berdaya tahan untuk mencapai pertumbuhan institusi sambil memberikan pengalaman hidup transformatif kepada pelajar dan staf.

Berpaksikan kepada Pelan Strategik UTM Envision 2021-2025, program ini dicadangkan seterusnya mampu membantu pihak-pihak terlibat meningkatkan nilai diri dari sistem pendidikan tinggi negara.

Program ini akan memfokuskan kepada Teras Strategik 1 iaitu untuk melahirkan bakat-bakat yang bersifat holistik bertaraf antarabangsa yang dapat menyumbang kepada kesarjanaan pendidikan serta penyelidikan.

Selain itu, ia turut memberi ruang untuk memperkembang dan menyokong Teras Strategik 4 iaitu mentransformasikan pengalaman kehidupan menerusi pemerkasaan ilmu pengetahuan dan kepercayaan berdasarkan hasil perkongsian penyelidikan dan pengalaman organisasi dalam pengurusan dan pembangunan pelajar.

Justeru itu, penglibatan daripada pelbagai agensi, ipta, ipts dan industri amatlah diharapkan bagi memperkasa mahasiswa dalam program ini.

ICoSD 2023 yang bakal diadakan pada 6-7 September 2023 di UTM Hotel & Residence Kuala Lumpur dan juga secara maya, bakal menyaksikan pembentangan kertas kerja mahasiswa serta pengurusan Hal Ehwal Pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seluruh Malaysia dan Universiti Antarabangsa.

Justeru, IPF UTM amat mengalu-alukan penyertaan daripada semua pihak. Maklumat dan tarikh penting akan dinyatakan di laman web rasmi ICoSD 2023 iaitu icosd.utm.my.

 

Sepasukan wakil daripada ICoSD 2023 iaitu Cik Siti Norhayati binti Md Yassin (kiri), Dr. Noor Mala Bt Ibrahim, Ts. Dr. Syamsul Hendra Mahmud, Ar. Idr. Ts. Noraslinda Binti Abdul Rahman, dan En. Hemnaarth A/l Tanakaran (kanan) bergambar bersama En. Asyraf bin Radzwan (dua dari kanan) di lobi Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum bertolak pulang.

Explore More