April 29, 2024

Search
Close this search box.
Muhammad Amirul Arif bin Mohd Azri

GELANG PATAH, 27 Mei – Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan 2023 (Bronco Awards 2023), Universiti Teknologi Malaysia diadakan adalah untuk menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh atlet pelajar universiti yang menyertai serta menyumbangkan pingat pada tahun 2022 di setiap kejohanan sama ada di peringkat Institusi Pengajian Tinggi, Kebangsaan mahupun Antarabangsa.

Majlis ini juga menyokong usaha KPT dalam melaksanakan Dasar Kecemerlangan Sukan IPT 2023 melalui Teras Dasar Ketiga iaitu Kecemerlangan Akademik dan Kebajikan Atlet. Penganugerahan kepada atlet yang berjaya memberi inspirasi kepada pelajar dan warga UTM secara amnya.

Ahli Jawatankuasa Pelaksana

Program ini adalah untuk menyokong aspirasi JTNC HEP dalam membangunkan Key HIR 3 iaitu “Competitive Team Sports” melalui Strategic Objektif 4 yang menjadi tanggungjawab Pusat Kecemerlangan Sukan.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan UTM (Bronco Awards 2023) ini dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Sukan UTM dengan kerjasama Student Athletes Sports Council (SASC).

Majlis ini merupakan antara acara utama yang dikendalikan secara tahunan oleh SASC sejak 2003 di bawah seliaan Pusat Kecemerlangan Sukan UTM.

Tahun 2023 menandakan sudah dua dekad SASC menjadi tulang belakang dalam penganjuran program berprestij tinggi ini.

Program tahunan ini menawarkan empat anugerah utama iaitu Anugerah Olahragawan dan Olahragawati serta Atlet Harapan Lelaki dan Wanita yang sentiasa dinanti-nantikan oleh atlet yang telah berjuang mengerah kudrat di persada sukan negara.

Seiring dengan perkembangan dalam bidang akademik, majlis ini merupakan inisiatif untuk menyuntik semangat atlet untuk terus cemerlang dalam aspek jasmani seterusnya dapat melahirkan generasi yang intelektual dan holistik.

Timbalan Pendaftar Kanan JTNC HEP

Majlis ini telah berlangsung pada 27 Mei 2023 yang bertempat di Horizon Hills Golf & Country, Gelang Patah, Johor. Sejumlah 150 orang peserta yang terdiri daripada 100 orang atlet pelajar, 30 orang staf Pusat Kecemerlangan Sukan dan 20 orang tetamu kehormat telah menyertai majlis ini.

Upacara majlis yang bertemakan Smart Casual (Denim) telah dimulakan pada pukul 2.30 petang dengan ketibaan para atlet, tetamu jemputan serta pegawai JTNCHEP. Upacara kemudian diteruskan dengan ucapan dari Pengarah Program, Pengarah Pusat Kecemerlangan Sukan dan juga ucapan perasmian majlis.

Montaj pembukaan dan gimik telah ditayangkan selepas majlis telah dirasmikan. Upacara majlis ini kemudiannya diteruskan lagi dengan jamuan makan serta persembahan dari kumpulan Aksara Resak.

Sesi penyampaian anugerah dimulakan dengan Pemenang Cabaran 100 Hari Gagah Perkasa 4.0. Anugerah ini telah dimenangi oleh seramai lima orang dari kategori lelaki dan lima dari kategori wanita.

Anugerah seterusnya adalah Anugerah Perwakilan Antarabangsa. Anugerah ini adalah untuk mereka yang telah berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa. Seramai lapan orang atlet telah dianugerahkan bagi kategori ini.

Sementara itu, Anugerah Kepimpinan Sukan 2022 telah dianugerahkan kepada Encik Mohd Yusoff bin Mat Yaman di atas jasa dan pencapaian beliau terhadap Sukan di UTM, manakala Anugerah Penghargaan Khas TNC HEP 2022 juga telah dianugerahkan kepada Ts. Dr. Wong Keng Yinn di atas pengalaman dan pencapaian beliau sebagai atlet serta pengalaman beliau sebagai Jurulatih di peringkat antarabangsa.

Di samping itu, Anugerah Penghargaan Bakti 2022 telah diberikan kepada Saudara Muhammad Nur Zahied bin Mohd. Hamidun yang merupakan Pengurus Pasukan Olahraga UTM. Pasukan beliau telah menampilkan pencapaian yang terbaik terutama di Peringkat Kebangsaan.

Upacara penyampaian anugerah diteruskan lagi dengan Anugerah Pasukan Terbaik 2022 yang telah dimenangi oleh Pasukan Bola Jaring. Pasukan Bola Jaring UTM telah dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik bagi majlis edisi ini kerana telah berjaya meraih pingat gangsa di Kejohanan SUKIPT 2022.

Nur Syafika Natasha binti Kadir

Upacara penyampaian anugerah utama diteruskan bagi 4 (empat) kategori iaitu Atlet Harapan Lelaki dan Wanita serta Olahragawan dan Olahragawati.

Bagi Atlet Harapan Wanita, telah dimenangi oleh Saudari Nur Syafika Natasha binti Kadir dari sukan Berbasikal Wanita manakala Atlet Harapan Lelaki pula telah dimenangi oleh Saudara Muhamad Hafizul Asyraf bin Jaafar dari pasukan Berbasikal Lelaki.

Seterusnya, anugerah Olahragawati telah dianugerahkan kepada Saudari Crystal Tiong Hui Man dari pasukan Ping Pong dan anugerah Olahragawan telah dianugerahkan kepada Saudara Muhammad Amirul Arif bin Mohd Azri dari sukan Olahraga.

Keempat-empat pemenang bagi kategori utama ini amat layak dianugerahkan untuk kategori mereka di atas pencapaian yang sangat memberangsangkan dalam mencipta nama di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa.

 

Ts Dr. Wong Keng Yinn

Explore More