Mei 3, 2024

Search
Close this search box.

UTM dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor jalin kerjasama sokong aktiviti makmal hidup UTM-JPNJ

KOTA TINGGI, 9 Mei – Majlis Menandatangani Surat Kerjasama diantara Universiti  Teknologi Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) telah berjaya dilaksanakan.

Majlis yang diadakan di KSL Hotel Johor Bahru dijalankan sempena perasmian Seminar Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan, Hutan Simpan Panti, Kota Tinggi, Johor yang diadakan selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Mei 2023.

Surat Kerjasama di antara UTM dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) bagi menyokong aktiviti Makmal Hidup UTM-JPNJ ini  telah ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Salim Bin Aman (Pengarah JPNJ), sebagai wakil daripada JPNJ dan YBhg. Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM) mewakili Naib Canselor UTM, disaksikan oleh YB Tuan Raven Kumar a/l Krishnasamy (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor) dan YBhg Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Prof Sr. Dr Kherun Nita Ali.

Susulan termeterainya surat kerjasama ini, YBhg. Dato’ Pengarah dan Ybhg TNC HEP UTM mengharap kedua-dua pihak memberikan komitmen penuh terhadap semua perancangan aktiviti yang telah dipersetujui.

Menerusi kerjasama ini, pihak-pihak bersetuju untuk menjadikan Hutan Simpan Panti JPNJ sebagai hab penyelidikan dengan potensi penyelidikan yang dijangka tidak terhad kepada penukaran kelas fungsi hutan, kajian berkaitan perdagangan kredit karbon, kajian teknologi berkaitan tanah runtuh dan sebagainya.

Antara lain, menyelaras program Communication, Education and Public Awareness Programme (CEPA) yang menfokuskan kepada pengekalan, konservasi dan perlindungan hutan.

Pengekalan dan konservasi sumber hutan adalah penting bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan melalui penggunaan teknologi terkini dalam pengurusan hutan sama ada hutan paya gambut, hutan darat dan hutan paya laut di negeri Johor.

Selain bertindak sebagai pemegang taruh kepada Makmal Hidup UTM-JPNJ, JPNJ berharap melalui kerjasama yang ditandatangani, ianya dapat meningkatkan ‘visibility’ dan peranan mereka bukan sahaja kepada pihak universiti malahan kepada orang awam, mahupun agensi-agensi lain yang berkaitan dengan bersama-sama menganjurkan aktiviti dan program yang berkaitan dengan skop kerjasama ditandatangani.

Antara ahli Makmal Hidup UTM-JPNJ yang hadir.
Bergambar kenangan selepas Majlis LOC.
Ruang pameran hasil ekspedisi saintifik kepelbagaian biologi hutan simpan panti turut diadakan di luar dewan.

Explore More