April 26, 2024

Search
Close this search box.

Program Transformasi Minda pacu budaya Inovasi Penyelesaian

JOHOR BAHRU, 26 Mei – Program Transformasi Minda (PTM) Bil. 20 Siri 1 Tahun 2023 telah berlangsung dengan jayanya selama lima hari mulai 22 hingga 26 Mei 2023 bertempat di Dewan Utama, Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD) dengan dihadiri oleh 120 orang peserta dari UTM Johor Bahru, Pagoh dan Kuala Lumpur.

Bertemakan ‘Menginovasi Penyelesaian’, PTM dirasmikan oleh Yang Berbahagia Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dalam ucaptamanya pada malam 22 Mei.

Sambil mengalu-alukan semua staf baharu UTM dengan semangat yang berkobar-kobar, Datuk Naib Canselor menjentik semangat semua peserta dengan kisah dan tauladan yang wajar dijadikan panduan sepanjang berkhidmat di UTM.

Beliau yang juga alumni UTM berkata tiada yang mustahil untuk berjaya dengan syarat tekad dan azam yang ditanam untuk memajukan diri dan komited terhadap tugas.

Ini merupakan permulaan yang mencabar demi memastikan semua staf UTM berada di landasan tepat dan menyokong setiap usaha UTM bagi memperbaiki kedudukan dalam ranking universiti terbaik dunia.

Beliau turut mengingatkan semua staf agar menetapkan sikap (attitude) di tahap tinggi dan ia perlu bermula dari diri sendiri.

Mengambil contoh tayar kereta yang pancit tidak boleh bergerak lancar, begitulah sikap kita, jika dibiarkan buruk tetaplah berada di tahap yang kurang memuaskan.

Ketika ditanya bagaimana caranya menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi secara konsisten, Datuk Naib Canselor hanya berpesan, jadikanlah penyelidikan itu sebagai hobi dan perkara pertama yang dilakukan ketika waktu lapang. 

Aktiviti selama lima hari diteruskan dengan pelbagai sesi ceramah yang melibatkan pengenalan kepada negara dan UTM, budaya kerja kelas pertama serta peraturan dan dasar-dasar yang terpakai bagi penjawat awam.

Ia turut diselangseli dengan soalan dan hujah balas dari peserta yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang topik yang diutarakan kepada penceramah yang juga merupakan aset penting bagi UTM kini.

Manakala pada sebelah malam, para peserta diceriakan dengan pelbagai aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) hasil bimbingan fasilitator yang terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan.

Seramai 12 orang fasilitator yang dilantik memainkan peranan penting dalam memastikan semua peserta mengambil bahagian di dalam setiap aktiviti sepanjang program berlangsung.

Ini adalah bagi mewujudkan hubungan di antara peserta, membina semangat berpasukan dan menanam sifat bertolak ansur.

Antara aktiviti yang dijalani adalah ice breaking, penubuhan kumpulan, human spider-web, pemikiran kritis-krisis makanan dan yang terakhir persembahan kumpulan yang bertemakan Inovasi Penyelesaian.

Sesuai dengan tema yang dipilih, kesemua aktiviti telah diadaptasi dengan elemen inovasi serta penyelesaian masalah dan para peserta menggembleng tenaga dan idea untuk menjadikan aktiviti kumpulan ini ceria dan bermanfaat.

Setiap aktiviti digamatkan dengan sorakan kumpulan yang dicipta mengikut kreativiti setiap kumpulan. 

PTM diakhiri dengan ujian kefahaman kendiri yang diadakan pada hari terakhir sebelum ditutup secara rasmi oleh Yang Berusaha, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Muhammad.

Dalam ucapannya, beliau berharap semua peserta berani menyahut peluang dan tidak menolak kerja kerana asbab peluang itu menjadi titik tolak untuk pembangunan diri dan potensi pada masa akan datang.

Beliau juga turut meluangkan masa menyampaikan hadiah kepada kumpulan dan peserta terbaik sepanjang PTM berlangsung.

Saddam Abdul Gafor dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) telah dianugerahkan peserta lelaki terbaik manakala Ummi Humaira Mohd Shahli dari Jabatan Perkhidmatan Digital muncul peserta terbaik wanita.

Kumpulan Solution Provider dinobatkan kumpulan terbaik sepanjang PTM berlangsung. Hadiah kemenangan turut disampaikan oleh Timbalan Pendaftar Kanan CTLD, En. Abdul Jalil Maulani.

Explore More