April 27, 2024

Search
Close this search box.

SEMARANG, 16 April – Seramai 8 orang pelajar dari pelbagai program pengajian di bawah Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan (JPTK), Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) UTM telah mengikuti Program Latihan Mengajar Antarabangsa Ke Indonesia dengan kerjasama Universiti PGRI Semarang (UPGRIS), Indonesia selama 28 hari bermula 19 Mac 2023 sehingga 15 April 2023.

Lapan pelajar Sekolah Pendidikan, FSSH UTM yang terlibat dalam Latihan Mengajar Antarabangsa di UPGRIS.

Program Latihan Mengajar Antarabangsa ini telah dianjurkan oleh Jawatan Kuasa Latihan Praktik (JKLP) Sekolah Pendidikan yang bertujuan untuk memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar pendidikan berkaitan situasi sebenar persekitaran sekolah di Indonesia.

Program Latihan Mengajar merupakan salah satu daripada Latihan Praktikal yang wajib dalam kalangan pelajar yang pengambil Program Pendidikan di UTM yang dilaksanakan selama 14 minggu selain Latihan Industri bagi pelajar dari bidang Pendidikan Teknikal dan Sains Sukan yang dijalankan pada semester pendek.

Pada peringkat awal program, 8 orang pelajar ini telah ditemani oleh 2 orang ahli akademik dari Sekolah Pendidikan iaitu Pengarah JPTK, Prof. Madya Ts. Dr. Aede Hatib bin Musta’amal dan Penyelaras Latihan Mengajar JKLP, Prof. Madya Dr. Abdul Halim bin Abdullah.

Pelbagai aktiviti telah berlangsung minggu pertama penghantaran pelajar ke UPGRIS antaranya perbincangan dan jemputan ke TVETIC 2023 yang akan diadakan pada Disember 2023, pembentangan berkaitan kepentingan kerjasama pendidikan dan Latihan Mengajar antara Malaysia dan Indonesia, serta syarahan umum di UPGRIS.

Sesi Penghantaran dan Penerimaan pelajar Latihan Mengajar Antarabangsa FSSH UTM kepada pihak UPGRIS

Selain memfokuskan kepada program Latihan Mengajar, pelbagai objektif lain telah digariskan oleh pihak JKLP Sekolah Pendidikan dalam memastikan kerjasama yang lebih erat dapat dilaksanakan.

Antaranya memperluaskan aktiviti MOU/MOA yang telah ditandatangani oleh FSSH UTM dengan universiti-universiti di Indonesia, menonjolkan penglibatan UTM di persada antarabangsa, menghasilkan pelajar yang berkualiti dan relevan kepada negara dan masyarakat global, serta mengadaptasi situasi sebenar keadaan di institusi persekolahan luar negara berdasarkan pengintegrasian amalan dan praktis antara kedua-dua negara.

Sepanjang 4 minggu Latihan Mengajar di Semarang, Indonesia berlangsung, pelajar Sekolah Pendidikan telah diberikan tanggungjawab khusus seperti mengajar berdasarkan program pengajian mereka dan melakukan pelbagai aktiviti bersama pihak sekolah.

Pelajar telah dibahagikan kepada 2 kumpulan mengikut bilangan sekolah yang telah bersetuju untuk berkerjasama dalam program antara kedua-dua universiti ini iaitu SMK Negeri 4 dan SMK Negeri 7, Semarang.

Setiap pelajar telah diselia dan dinilai oleh guru-guru yang berpengalaman dan 2 orang pensyarah bidang teknikal daripada UPGRIS bagi memastikan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh adalah mencukupi.

Pelajar telah dibahagikan kepada bidang-bidang tertentu seperti Automotif, Pemesinan Am, dan Arkitektur untuk mengajar di sekolah-sekolah yang ditugaskan.

Pelajar telah diminta untuk menulis Rancangan Pengajaran Harian (RPH) berdasarkan kaedah perancangan pengajaran di Indonesia, namun bagi memastikan pelajar merekodkan tugasan mereka, pihak JKLP meminta pelajar menghasilkan satu laporan Latihan Mengajar di Indonesia bagi tujuan penilaian aktiviti dan pemarkahan.

Markah penilaian pelajar Latihan Mengajar Antarabangsa yang diperoleh di Indonesia akan dipuratakan bersama-sama penilaian Latihan Mengajar yang diberikan oleh Pensyarah Pembimbing selepas penilaian Latihan Mengajar berlangsung di Sekolah dan Kolej Vokasional masing-masing bermula 2 Mei 2023.

Pelajar Latihan Mengajar bersama-sama pelajar di SMK Negeri 4 Semarang sewaktu sesi Pengajaran & Pembelajaran

Selain dari melaksanakan Latihan Mengajar di Indonesia, pihak UPGRIS telah berbesar hati membawa para pelajar ke tempat-tempat menarik di sekitar Pulau Jawa antaranya kawasan kebudayaan di Daerah Istimewa Jogjakarta dan peninggalan sejarah penjajahan Belanda di Indonesia di sekitar Semarang seperti Pura Agung Giri Natha, Vihara Buddhagaya Watugong, Kota Lama, dan Lawang Sewu.

Sesi lawatan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha pihak UPGRIS untuk memperkenalkan budaya dan sejarah Indonesia kepada pelajar Malaysia dan secara tidak langsung mengisi masa lapang pelajar di hujung minggu.

Pelajar Latihan Mengajar bersama-sama pelajar pengiring dari UPGRIS dalam lawatan ke kawasan bersejarah di Daerah Istimewa Jogjakarta

Pada 12 April 2023, 2 orang ahli akademik telah ditugaskan oleh pihak JKLP untuk menemani dan membawa pulang para pelajar Latihan Mengajar Antarabangsa iaitu mantan ahli JKLP, En. Shahrin Bin Hashim yang banyak melakukan kerjasama bersama universiti-universiti di Indonesia, dan Penyelaras Latihan Industri JKLP, Dr. Mohamad Izzuan Bin Mohd Ishar.

Pelbagai aktiviti turut berlangsung sebelum proses membawa pulang pelajar antaranya majlis berbuka puasa bersama UPGRIS, perbincangan aktiviti in-bound pihak UPGRIS ke UTM, kerjasama penyelidikan dalam kalangan pelajar FSSH UTM dan UPGRIS bagi aktiviti bersama Konsulat Jenderal Indonesia di Johor Bahru, serta perancangan Latihan Industri di Indonesia pada tahun 2024.

Sesi pemulangan dan penarikan pelajar Latihan Mengajar Antarabangsa telah berlangsung di kedua-dua buah sekolah dengan penerimaan maklum balas yang positif dari Kepala Sekolah dan guru-guru pembimbing berkaitan kemampuan pelajar Pendidikan untuk mengadaptasi persekitaran baru terutama di luar negara dalam tempoh yang singkat.

Pihak sekolah turut mempelawa FSSH UTM untuk mengadakan lawatan dan kerjasama serta menerima pelajar FSSH UTM untuk menjalani Latihan Mengajar di Indonesia pada masa akan datang.

Selain itu, pihak UPGRIS pula memuji tahap kebolehan dan pengetahuan pelajar Sekolah Pendidikan UTM walaupun tidak mengajar mengikut bidang pilihan masing-masing semasa sesi ucaptama Majlis Penarikan pelajar FSSH UTM pada 14 April 2023 yang lalu.

Mereka turut menyatakan bahawa aktiviti seperti ini mampu menjadi pendorong dan titik permulaan bagi kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua universiti yang tidak hanya tertumpu kepada kerjasama penyelidikan dan penerbitan malah mengadakan aktiviti yang mampu memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan pelajar universiti itu sendiri

Selain terlibat dalam perbincangan kerjasama bersama UPGRIS, sesi ini juga telah membuka ruang dan peluang kerjasama antara FSSH UTM dengan beberapa universiti di Pulau Jawa itu seperti Universitas Muhammadiyah Purwokerto dan Universitas Walisongo Semarang.

Pada peringkat permulaan, universiti-universiti ini akan mengadakan out-bound ke Malaysia bagi menjalankan aktiviti pembelajaran seperti Kuliah Kerja Lapangan (KKL) dan Kuliah Kerja Nyata (KKN) dengan kerjasama FSSH UTM.

Bagi memastikan aktiviti ini sebagai satu kerjasama yang berterusan, pihak JKLP Sekolah Pendidikan FSSH UTM akan merancang kerjasama bersama beberapa universiti di Indonesia dengan mengadakan Latihan Mengajar dan Latihan Industri di Indonesia dengan tempoh maksimum 3 bulan bermula tahun hadapan.

Sesi pengurniaan sijil penghargaan kepada pelajar Malaysia dan Majlis Penarikan Pelajar Latihan Mengajar Antarabangsa yang berlangsung di UPGRIS

Explore More