April 25, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Norhaiza Ahmad, Haliza Abdul Rahman dan Siti Rohani Mohd Nor

JOHOR BAHRU, 4 April – Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjemput Ketua Perangkawan Malaysia, Jabatan Perangkaan Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin untuk menyampaikan satu ceramah bertajuk “Kepentingan Data ke Arah Pembangunan Mampan” dalam slot program Popular Science Seminar Series.

Popular Science Seminar Series, merupakan satu siri ceramah anjuran Fakulti Sains yang telah diadakan secara berkala sejak tahun 2017.

Siri seminar ini bertujuan untuk berkongsi dan menyebarkan maklumat saintifik dengan cara yang boleh difahami dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Program ini seringkali mengetengahkan penceramah dalam kalangan ahli akademik dan pakar rujuk industri.

Pada slot kali ini, UTM amat bertuah kerana Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir, individu penting yang mengetuai Jabatan Perangkaaan Malaysia (Department of Statistics Malaysia-DOSM) dalam mengurus data negara telah sudi untuk berkongsi ilmu, pengalaman serta kepakaran beliau kepada semua warga UTM. Beliau juga merupakan Profesor Adjung UTM yang telah dilantik sejak 3 Ogos 2022.

Acara dimulakan dengan ucapan kata aluan daripada Prof. Sr Dr. Hishamuddin Mohd Ali, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UTM.

Dalam pengisian ceramah ini, Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir telah menekankan betapa pentingnya peranan data dalam urus tadbir negara. Menurut beliau, terdapat keperluan memiliki satu sistem statistik negara yang bersifat inklusif dan mampan, yang mencorakkan blueprint teras belanjawan negara.

Di samping itu, data perlu dianggap sebagai aset berharga yang seharusnya digunakan dalam membuat keputusan dalam memacu Malaysia ke arah negara maju. Keputusan berbentuk data driven boleh menjadi game changer dan secara amnya dapat menambah baik kualiti sesebuah organisasi.

Beliau juga berkata bagi menghasilkn pembangunan mampan, perlu ada satu kayu ukur yg sama iaitu dengan menggunakan set data yang boleh dirujuk bersama oleh semua pihak.

Antara inisiatif DOSM dalam memasyarakatkan data ialah dengan membina dan memperkasakan beberapa sistem data berintegrasi termasuk Dashboard Kawasanku; Mobile Positioning data (MPD); dan Intelligent Data Lounge.

Di samping itu, satu platform data terbuka turut dibina iaitu opendosm, yang boleh diakses oleh agensi kerajaan, institusi pendidikan serta orang awam untuk dimanfaatkan.

Banyak lagi input yang telah dikongsikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir, secara atas talian selama lebih kurang 2 jam itu, termasuk sesi soal jawab.

Sesi tertutup ini juga dihadiri oleh Dekan Fakulti Sains, pihak pengurusan tinggi Fakulti Sains, dan juga seluruh staf dan pelajar UTM daripada pelbagai Fakulti dengan melibatkan seramai lebih kurang 370 orang yang hadir.

Fakulti Sains amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin kerana kesediaan beliau dalam meluangkan masa untuk sesi ini.

Adalah diharapkan agar perkongsian ini dapat dimanafaatkan oleh semua pihak yang hadir. Diharapkan seminar ini dapat memberikan nilai tambah kepada kualiti pendidikan, penyelidikan, potensi dan bakat kepada organisasi yang terlibat.

 

Explore More