Mei 6, 2024

Search
Close this search box.

Majlis Tautan Ukhuwah Syawal UTM 2023 pererat silaturahim warga kerja UTM

JOHOR BAHRU, 8 Mei – Majlis Tautan Ukhuwah Syawal 2023 peringkat universiti di UTM Johor Bahru yang disambut baru-baru ini menjadi wadah mempererat jalinan silaturahim warga kerjanya dalam suasana santai dan meriah.

Majlis yang berlangsung di Dataran Agora, UTM Johor Bahru itu mula dibanjiri pengunjung seawal jam 8.30 pagi manakala Naib Canselor UTM, Prof. Datuk. Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dengan diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin,  Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Md. Ali tiba sekitar jam 9.00 pagi.

Pengarah Program Majlis Tautan Ukhwah Syawal UTM 2023, Ustaz Mohd. Firdaus Pazim berkata antara kelainan yang ditampilkan pada tahun ini adalah persembahan ‘live band’ yang membawakan seleksi lagu-lagu raya dan juga pentas bergambar kendalian Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) UTM.

“Pengunjung yang hadir dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu raya klasik oleh artis Unit Kebudayaan UTM sambil menikmati juadah yang disediakan.  Pengunjung juga boleh mengambil gambar secara percuma bersama dengan rakan sekerja masing-masing dan juga pihak pengurusan tertinggi Universiti melalui perkhidmatan fotografi yang dikendalikan oleh kakitangan HEK,” katanya lagi.

Menurut Ustaz Mohd. Firdaus lagi sebanyak 32 gerai dari Pusat-pusat Tanggungjawap (PTJ) telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan juadah bagi pengunjung yang hadir majlis ini.

“Antara juadah yang disediakan adalah sate, burasak, lontong, nasi minyak dan juga pelbagai juadah tradisional Melayu.

“Kami juga telah menambah peruntukan bagi pembelian makanan pada tahun ini bagi membolehkan semua pengunjung menikmati juadah yang disediakan,” katanya lagi.

Pengunjung juga digalakkan makan bersama-sama di kawasan yang telah disediakan selari dengan hasrat penganjuran Majlis Tautan Ukhuwah ini untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan warganya.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail mengunjungi gerai kuih tradisional, minuman dan juga juadah raya di Majlis Tautan Ukhwah Syawal UTM 2023.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail beramah mesra dengan pengunjung Majlis Tautah Ukhwah Syawal UTM 2023 yang diadakan di kampus Johor Bahru pagi tadi.

Explore More