April 20, 2024

Search
Close this search box.

Majlis edaran Al-Quran Darul Kifayah perkukuh jalinan kerjasama UTM dan MAIWP

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Majlis Edaran Al-Quran di Kompleks Darul Kifayah, Kuala Lumpur telah diadakan secara sederhana sebagai salah satu daripada aktiviti Program Infaq Al-Quran anjuran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (Pejabat TNCPI)  dengan kerjasama Unit Endowmen UTM dan NGO Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU).

Dalam majlis ringkas itu, sebanyak 80 naskhah Al-Quran telah disumbangkan oleh UTM disaksikan oleh Pengetua Darul Kifayah, Encik Abdul Rauf bin Abd Aziz dan Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Pembangunan Insan MAIWP, Puan Noraza binti Aziz.

Pihak UTM diwakili oleh Pegawai Penyelidik di Pusat Jaringan Komuniti dan Industri, Puan Sohailah binti Safie.

Sesi edaran Al-Quran.

Sesi bergambar bersama sebahagian pelajar Darul Kifayah.

UTM menerusi Pejabat TNCPI dan Unit Endowmen telah menyumbang wang tunai hasil kutipan sumbangan staf UTM dan orang ramai kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) bagi tujuan Program Infaq Al-Quran.

Program ini adalah hasil inisiatif UTM dengan kerjasama NGO Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah (PIKU) yang bertujuan menyumbang naskhah Al-Quran pendidikan kepada pelajar sekolah dalam objektif untuk memberi manfaat kepada lebih 3,000 orang pelajar dari lebih 50 buah sekolah di Kuala Lumpur.

Program Infaq Al-Quran adalah inisiatif bersama antara Pejabat TNCPI dan Unit Endowmen UTM dengan Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah bermula tahun 2021.

UTM memainkan peranan dengan menyediakan platform pembayaran endowmen termasuklah sistem fundraising khas yang telah dibuka di laman sesawang UTM iaitu https://fundraising.utm.my/ untuk memudahkan pelbagai pihak memberi sumbangan wang bagi menjayakan program ini.

Setakat ini,  jumlah sumbangan terkumpul adalah sebanyak lebih RM 40,000.00 yang disumbang melalui laman sesawang fundraising UTM, pindahan bank, dan aplikasi UTM SMART.

Explore More