November 25, 2024

Search
Close this search box.

Lead 2.0 tambat hati warga SM Teknik Johor Bahru, cetus inspirasi jadi pemimpin berkualiti

Oleh: Alia Nurfatihah Malek, Farah Diyana Samsuddin dan Siti Norhayati Md Yassin

JOHOR BAHRU, 20 Mei – Bermisikan kepimpinan, penerokaan dan pembangunan, program Lead 2.0 merupakan sebuah program anjuran Kelab Smartcamp Kolej Tuanku Canselor (KTC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sesi 2022/2023, dengan kerjasama Unit Kokurikulum dan Unit Kaunseling Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru (SMTJB).

Seramai lebih kurang 50 orang mahasiswa dan mahasiswi UTM yang merupakan jawatankuasa dan fasilitator program ini, telah berangkat ke SMTJB sejak pagi lagi untuk menjayakan program ini di sana.

Seramai hampir 200 orang pelajar SMTJB terlibat sebagai peserta dan mereka ditemani oleh guru-guru  yang bertugas untuk memantau pelajar-pelajar mereka sepanjang program. 

Program yang berinisiatifkan penerapan semangat kepimpinan pelajar di kalangan fasilitator daripada UTM dan di kalangan pelajar SMTJB ini turut memupuk nilai-nilai positif melalui aktiviti-aktiviti yang bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Lead 2.0  telah memberi peluang kepada pelajar UTM dengan memberi pengalaman menganjurkan program luar serta memupuk kemahiran-kemahiran yang diperlukan di alam kerja nanti.

Ianya dijalankan padat dengan modul-modul kepimpinan yang dibangunkan oleh jawatankuasa program dengan matlamat untuk meningkatkan kemahiran insan pelajar seperti komunikasi, kerja berpasukan dan kepimpinan sekaligus meningkatkan keyakinan diri mereka dan mengasah kemahiran berfikir secara kreatif. 

Modul pertama yang dinamakan ‘Break the Ice’, merupakan modul yang mengetengahkan SDG yang ke-8 iaitu ‘Decent Work and Economic Growth’. Seterusnya, aktiviti yang kedua merupakan aktiviti yang menerapkan SDG yang ke-4 iaitu “Quality Education”.

Modul kedua ini diberi nama ‘Talk that Talk’ yang dijalankan dalam bentuk ceramah. Modul yang terakhir yang melengkapi program ini yang bertajuk ‘Work it Till You Make it’. Menjadikan SDG yang ke-9, “Industry, Innovation and Infrastructure” sebagai matlamat menjalankan modul ketiga ini. 

Perasmian program Lead 2.0 telah disempurnakan oleh Dr Nurzal Effiyana binti Ghazali selaku wakil kepada Prof. Ir. Sharul Kamal Abdul Rahman, Pengetua Kolej Tuanku Canselor disaksikan oleh Puan Siti Rahamah binti Ismail selaku Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMTJB bersama semua yang hadir.

Dr. Nurzal di dalam ucapannya “Saya sememangnya amat berbangga melihat kejayaan para mahasiswa dan mahasiswi Kolej Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Malaysia dalam melaksanakan program khidmat pendidikan seperti ini kerana ianya memberi impak yang amat baik kepada kedua-dua belah pihak samaada  mahasiswa mahupun pelajar sekolah.”

Selain daripada itu, hasil temuramah dengan peserta dan guru yang hadir mendapati bahawa mereka berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program.

Siti Nur Audah Binti Azrul, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru (SMTJB) berkata, permainan yang dijalankan sangat menarik dan mencabar minda mereka kerana mereka harus menjawab beberapa soalan teka-teki dan quiz yang berformatkan KBAT.

Katanya lagi, mahasiswa dan mahasiswi UTM yang hadir bersama-sama mereka pada hari tersebut ramah dan mudah bergaul sehingga membuat suasana yang mulanya hambar bertukar ceria.

“Harap kakak dan abang boleh datang lagi untuk melaksanakan program yang lebih menarik,” katanya kepada penganjur program ini, di sini.

Sementara itu, seorang guru, Puan Nurin Binti Azman, mengakui bahawa objektif program yang dijalankan bersama anak-anak SMTJB tercapai dengan baik kerana dapat membina kemahiran insaniah pelajar. Beliau juga berpuas hati kerana dapat melihat pelajar-pelajarnya dapat belajar sambil berseronok.

“Program ini menarik, mungkin tahun hadapan pihak UTM boleh kembali lagi ke sini dengan konsep program yang sama,” cadang Puan Nurin.

Beliau turut menyalurkan pandangan tentang modul terakhir program ini dimana, ketika para fasilitator memberi nilai kepada hasil kerja para pelajar, penilaian tersebut seharusnya dijalankan di hadapan pelajar supaya mereka dapat belajar lebih lagi dan berbangga dengan hasil kerja keras mereka.

Malah, pelajar juga dapat mengetahui kesalahan mereka.

Penganjuran program kolaborasi ini sedikit sebanyak memberi pengetahuan dan pengalaman yang berguna kepada para pelajar serta ahli jawatankuasa program.

Ahli jawatankuasa program amatlah berbesar hati dapat melaksanakan program yang memberi impak positif kepada Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru (SMTJB).

Explore More