April 26, 2024

Search
Close this search box.

Lawatan kerja Jabatan Ukur Brunei Darussalam ke FABU UTM rintis peluang kerjasama dalam bidang Kejuruteraan Geomatik

JOHOR BAHRU, 15 Mei – Satu lawatan kerja daripada Jabatan Ukur Kementerian Pembangunan Brunei Darussalam ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung sebagai titik permulaan jalinan kerjasama antara Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dan negara Brunei terutamanya dalam bidang Kejuruteraan Geomatik.

Tujuan lawatan kerja oleh Jabatan Ukur negara Brunei Darussalam adalah untuk mendalami teknologi terkini dan berkongsi ilmu dalam bidang Kejuruteraan Geomatik (dahulu dikenali ukur tanah) melalui pencapaian-pencapaian semasa bidang Geoinformasi, di FABU.

Melalui lawatan kerja ini juga para pensyarah dan pelajar bidang Kejuruteraan Geomatik dapat mengambil peluang memberi penerangan berkenaan kajian semasa dan hala tuju bidang ini di masa akan datang terutama dengan wujudnya kerjasama dengan Jabatan Ukur Brunei Darussalam.

Delegasi lawatan ini telah dihadiri oleh Juruukur Daerah Cawangan Daerah Tutong, Encik Surzana bin Bujang bersama dua (2) orang wakil daerah yang sama iaitu Encik Muhammad Adam Qarwi bin Abdullah Nikal dan Encik Mohd Subhi Abdilah bin Bakir.

Kesemua delegasi telah disambut oleh Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Prof. Sr Dr. Kherun Nita Ali dan Pengarah Geoinformasi, Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa serta barisan pensyarah fakulti.

Delegasi dari Jabatan Ukur Brunei Darussalam itu juga telah dibawa melawat ke kumpulan Penyelidikan Inovasi Geomatik (GnG), Makmal Ukur Kejuruteraan dan Kadaster (UKK) serta ke beberapa fasiliti utama UTM seperti stadium UTM, fakulti-fakulti, balai cerap dan kolej kediaman.

Semasa berada di FABU, satu sesi pembentangan oleh para pensyarah dari kumpulan penyelidikan GnG dan pelajar-pelajar pasca-siswazah telah dijalankan bagi memberi peluang dan pendedahan kepada Jabatan Ukur Brunei Darussalam berkenaan kajian semasa bidang Kejuruteraan Geomatik dan idea kajian semasa oleh para pelajar di UTM.

Antara pembentangan yang dijalankan adalah daripada Dr. Othman Zainon (Penyelidikan dan Pembangunan Astronomi di UTM), Dr. Wan Anom Wan Aris (Crustal deformation in Malaysia in support of Semi Dynamic Reference Frame), Dr. Nurul Izzati Abd Karim (Pemetaan Utility Bawah Tanah) dan Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim (Marine Cadastre).

Di samping itu, pembentangan juga disampaikan oleh wakil Jabatan Ukur Brunei Darussalam iaitu Encik Surzana bin Bujang berkenaan teknologi dan amalan kerja ukur tanah di Brunei Darussalam.

Setelah itu, sesi penutup berlangsung dengan perbincangan dua hala antara UTM dan Jabatan Ukur Brunei Darussalam bagi membincangkan ruang kerjasama yang akan diwujudkan pada masa akan datang.

Secara kesimpulannya, lawatan kerja ini merupakan satu titik permulaan jalinan kerjasama pada masa akan datang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam bidang Kejuruteraan Geomatik atau ukur tanah khususnya.

 

Explore More