April 27, 2024

Search
Close this search box.

Johor jadi lokasi pembuka tirai program Jom Masuk U 2023

JOHOR BAHRU, 21 Mei. – Siri jelajah program JOM MASUK U diteruskan lagi tahun ini dengan menjadikan negeri Johor sebagai lokasi pertama apabila majlis perasmiannya berlangsung di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru hari ini.

Program yang sebelum ini yang dikenali sebagai Jom Masuk IPT bakal berlangsung bermula 20 Mei 2023 sehingga 5 Jun 2023, melibatkan 6 buah lokasi terpilih di seluruh negara, iaitu Johor, Kuala Lumpur Terengganu, Kedah, Sabah dan Sarawak.

Penganjuran program JOM MASUK U 2023 di Zon Selatan bersama pihak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diadakan selama dua (2) hari bermula 20 hingga 21 Mei 2023 turut diadakan serentak bagi Zon Sarawak di Times Square Megamall Bintulu dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), Kampus Bintulu.

Pemilihan UTM sebagai penganjur bersama program ini adalah dengan mengambil kira peranan Universiti ini yang diharapkan dapat menerajui pengembangan ilmu pendidikan tinggi khasnya dalam konteks penyelidikan dan inovasi.

Selain UTM, Jelajah JOM MASUK U 2023 bakal diteruskan ke empat lokasi di Universiti Malaysia Sabah (27 hingga 28 Mei), Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah (27 hingga 28 Mei), Universiti Malaysia Terengganu (3 hingga 4 Jun) dan Universiti Malaya (4 hingga 5 Jun).

Melihat pengisian yang ditawarkan, JOM MASUK U 2023 Zon Selatan mempunyai program melibatkan pendedahan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kehadapan (Advanced TVET), pendidikan STEM, dan berunsurkan penyelidikan dan inovasi.

“Selaras dengan hasrat Kerajaan bagi meringankan beban rakyat dan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi, kos sebanyak RM15.00 sebagai Bayaran Proses UPUOnline® bagi mendapatkan Unik ID akan ditanggung sepenuhnya Kementerian Pendidikan Tinggi bagi kemasukan Sesi Akademik 2023/2024 ini,” menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar dalam ucapannya ketika merasmikan program tersebut.

Ucapan perasmian oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar

“Dijangkakan bahawa lebih 350,000 calon lepasan SPM dan STPM/Setaraf akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini. Semua calon yang berkelayakan adalah dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi,” tambah beliau lagi.

Hadir bersama dalam majlis perasmian ini adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM selaku wakil rasmi Datuk Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Jabatan Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Norzaini binti Azman; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Hj. Mohd Zahari bin Ismail dan Naib-Naib Canselor Universiti Awam (UA).

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi menyempurnakan gimik perasmian program.

Sepanjang program ini berlangsung, calon-calon lepasan SPM dan STPM/Setaraf boleh memohon dan mengemas kini permohonan UPUOnline® yang akan dibuka pada permohonan Fasa 2 mulai 15 Mei 2023 (12.00 tengahhari) hingga 09 Jun 2023 (5.00 petang).

Penganjuran JOM MASUK U 2023 bertujuan untuk mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi di bawah KPT yang merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi melawat reruai UTM.

Sepanjang dua hari, program Jom Masuk U 2023 Zon Selatan telah dihadiri seramai 12,653 orang  pengunjung yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar lepasan sekolah, guru-guru dan ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat secara terus mengenai kursus-kursus yang ditawarkan.

Pelajar sekolah tidak melepaskan peluang melawat reruai UTM.

Turut ditawarkan sepanjang program adalah kaunter konsultasi UPU Online, Talkshow IPTS, UTM Campus Experience Showcase, cabutan bertuah dan jualan foodtruck. UTM Campus Experience Showcase merupakan inisiatif pihak UTM sendiri dalam mempromosikan pembelajaran berunsurkan TVET dan STEM yang diharap dapat menarik lagi minat para pelajar menyambung pengajian dalam bidang kemahiran dan teknikal.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi turut melawat pameran inovasi UTM.

Explore More