November 22, 2024

Search
Close this search box.

FSSH UTM KL raikan syawal dengan pengisian kerohanian dan taklimat hala tuju fakulti

Oleh: Hafizuddin Bin Othman & Khairull Azmi Bin Ishak

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Keriangan bulan Syawal masih terasa walaupun seluruh muslimin dan muslimat di negara ini telah merayakan Hari Raya Aidilfitri bermula 22 April 2023 yang lalu.

Meskipun tidak mengalami “raya terkejut’’ seperti tahun lalu, rakyat Malaysia seolah-olah seperti sudah bersedia untuk meraikan Hari Raya lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan.

Suasana di UTM KL juga tidak kurang meriahnya dengan sambutan Hari Raya peringkat UTM KL pada 2 Mei 2023 yang lalu dan sambutan di peringkat PTJ yang bertali arus sehingga akhir syawal.

FSSK UTM KL juga tidak melepaskan peluang untuk mengadakan sambutan Hari Raya bersama semua staf akademik dan PPP.

Pagi Jumaat 12 Mei 2023 dimulai dengan Program Bersama Ustaz siri 4 secara atas talian yang dihoskan oleh Muhammad Aiman bin Amrun dan Dr. Azahar Bin Yaakub@Ariffin sebagai penceramah jemputan.

Pengisian yang disampaikan oleh penceramah selama 1 jam dengan tajuk ‘’Kisah dan Pengajaran’’ cukup memberi kesan mendalam  terhadap rohani dan spiritual peserta yang menonton secara langsung melalui Webex dan Facebook.

Jumaat di FSSK UTM KL diteruskan lagi dengan ketibaan staf FSSK UTM KL yang hadir bergaya dengan pakaian Hari Raya.

Turut hadir juga sebagai tetamu jemputan adalah barisan pentadbir daripada FSSK UTM JB yang diketuai oleh YBhg. Dekan, Prof. Dr. Arieff Salleh bin Rosman.

Majlis dimulai dengan Mesyuarat Bersama Dekan FSSK yang bertempat di Bilik Latihan As-Syafie.

Dalam mesyuarat tersebut, YBhg. Dekan telah membentangkan hala tuju fakulti serta cabaran-cabaran yang perlu dihadapi dalam memastikan FSSK mencapai KAI yang ditetapkan.

Dengan tema ‘’Santai Tapi Sampai”, YBhg. Dekan berharap agar semua staf memainkan peranan dalam menjayakan semua visi dan misi fakulti.

Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan oleh Pengarah Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM KL, Dr. Zuhana Bt Mohamed Zin dan Pengarah RZS-CASIS, Prof. Madya Dr. Khalif Muammar bin A Harris.

Intipati pembentangan adalah berfokuskan pencapaian Jan-Mei 2023 serta perancangan bagi Jun-Disember 2023.

Sejurus tamat mesyuarat, semua hadirin dijemput ke ruang Foyer A, Aras Bawah Bangunan PSZ bagi Sambutan Hari Raya. Jamuan Hari Raya ini ditaja oleh pihak ABATI (Kelab Kebajikan AB dan ATI FSSK UTM KL).

Pelbagai juadah raya yang dihidangkan untuk tetamu yang hadir.

Dalam majlis tersebut juga, pihak ABATI menyampaikan hadiah untuk staf yang bakal bersara serta meraikan staf yang menyambut hari lahir bermula Jan – Mei 2023.

Majlis tamat pada jam 12.30 tengahari dan staf pulang dengan memori yang indah pada hari ini.

Explore More