April 26, 2024

Search
Close this search box.

Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2023 milik alumni UTM

JOHOR BAHRU, 22 Mei– Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru 2023 Peringkat Kebangsaan ke 52 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh telah diadakan pada 16 Mei 2023 yang lalu .

Majlis tersebut menyaksikan kejayaan  seorang alumni UTM,  Nuinda Alias, 61 tahun  yang telah  dinobatkan sebagai  Tokoh Guru Kebangsaan 2023.

Nuinda  telah menerima wang tunai dan loket emas  bernilai RM 50,000, dua tiket penerbangan, plak dan sijil penghargaan. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nuinda merupakan bekas graduan Doktor Falsafah (Pengurusan dan Pentadbiran), Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM dan dibawah penyeliaan Prof. Madya Dr. Jamilah binti Ahmad.

Selepas majlis anugerah  tersebut, Nuinda telah menghubungi penyelianya untuk mengucapkan terima kasih diatas segala tunjuk ajar dan bersetuju untuk memberi ceramah yang bertajuk Women in Leadership kepada pelajar-pelajar subjek UHPS 6013 Dynamics of Leadership pada satu tarikh yang akan ditetapkan pada bulan Jun ini.

Nuinda Alias ​​mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sungai Lada, Labuan, Sabah dan kemudian melanjutkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah St Anne Convent, Sekolah Menengah St. Anthony, Labuan dan menamatkan pendidikan menengahnya di Kolej Sabah Kota Kinabalu.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia dalam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi pada tahun 1986. Beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Sains (Pembangunan Sumber Manusia) di Universiti Malaysia Sarawak, pada tahun 1998.

Pada 21 Mei 2022 beliau telah menamatkan pengajiannya dan mendapat Ijazah Doktor Falsafah (Pengurusan Dan Pentadbiran), UTM.

Beliau merupakan seorang guru di tiga buah sekolah menengah selama tiga tahun sebelum beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sabah Sandakan (kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau ) dan Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu Sabah (kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya).

Pada Mac 2000, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengetua Maktab Perguruan Gaya, sebagai Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Inanam Sabah pada 2004, dan kemudian dilantik sebagai Pengetua Sekolah Menengah Maktab Sabah mulai Mac 2006.

Selepas 16 tahun berkhidmat sebagai Pengetua dari Sekolah Menengah Maktab Sabah, beliau telah bersara pada 6 Januari 2022.

Beliau sangat aktif dalam pelbagai program kebajikan, sosial dan pendidikan serta memegang beberapa jawatan penting, antaranya,Pengerusi PUSPANITA Sabah, Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (Sabah) dan Ahli, Jawatankuasa Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Peringkat Kebangsaan, Presiden Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS), Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan Program E-Exchange Pelajar Asrama Malaysia Peringkat Kebangsaan 2021, Timbalan Presiden 2 Persatuan Hoki Sabah dan Timbalan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sabah (PPSMS).

Dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang positif, beliau telah menjadi seorang pemimpin wanita yang cemerlang serta telah memenangi pelbagai anugerah, antaranya Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2023, Anugerah Ahli PUSPANITA Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2022, Anugerah Pengurusan Asrama Terbaik, Peringkat Kebangsaan 2021 Kategori Sekolah Menengah, Pengerusi Koperasi Sekolah Peringkat Kebangsaan 2019 dan Anugerah Wanita Cemerlang Negeri Sabah 2019.

 

Explore More