April 24, 2024

Search
Close this search box.

UTM Anjur Bicara Peranan Juruukur Tanah Wanita Sempena Sambutan Global Surveyors’ Day

 JOHOR BAHRU, 29 Mac – Bersempena dengan sambutan Global Surveyors’ Day (GSD) tahun 2023, program Geoinformasi di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Bicara GSD “Meraikan Peranan Juurukur Wanita dalam Komuniti Geomatik dan Ukur Tanah” dengan anjuran bersama Bahagian Geomatik & Ukur Tanah, Royal Institution of Surveyor Malaysia (RISM).

Umum mengetahui bidang Geomatik dan Ukur Tanah ini bukanlah satu bidang yang sinonim dengan penglibatan kaum wanita.

Namun, pertambahan bilangan pelajar wanita mengikuti Program Kejuruteraan Geomatik atau dahulunya dikenali sebagai Ukur Tanah dilihat semakin bertambah kian tahun.

Bersempena dengan sambutan GSD yang disambut pada setiap 21 Mac setiap tahun, UTM mengambil peluang ini menghimpunkan barisan juruukur-juruukur wanita yang hebat dalam pelbagai bidang Geomatik untuk berkongsi peranan, cabaran serta halatuju masing-masing.

Seramai empat (4) orang panel telah dijemput menyertai program Bicara GSD ini iaitu Sr Nur Zurairah Abdul Halim, juruukur kerajaan pertama yang dilantik sebagai Subject Matter Expert (SME) dalam bidang Kadaster pengkhususan dalam Terrestrial Data Acquisition & 3D Modelling; Puan Amy Ellyza Ghani, juruhidrogafi wanita pertama memperolehi persijilan Hidrografi Profesional CAT A; Sr Wong Yeak Kuan, antara juruukur wanita terawal bergelar sebagai juruukur tanah berlesen dan Dr. Wan Anom Wan Aris, Penyelaras Program Kejuruteraan Geomatik dengan Kepujian, UTM.

Sesi bicara GSD yang berlangsung selama satu (1) jam ini merupakan satu paduan Quadraple Helix dengan menggabungkan bidang industri, Jabatan kerajaan, akademik dan komunitinya adalah dari kalangan pelajar dalam satu program.

Sesi bicara ini juga dilaksanakan secara hybrid iaitu secara bersemuka dan juga secara atas talian dengan memberi peluang penglibatan dari agensi-agensi luar.

Penganjuran program bicara GSD yang julung kalinya dianjurkan oleh program Geoinformasi UTM telah mencapai maksud penganjuran program dan para pelajar dan peserta secara atas talian juga telah diberi peluang untuk bertanyakan pelbagai soalan berkenaan cabaran, peranan dan tanggungjawab bagi setiap panel yang dijemput.

Dengan penganjuran program Bicara GSD ini akan menjadi perangsang terutamanya pelajar-pelajar dan bakal-bakal pelajar perempuan untuk menceburi bidang Geomatik atau Ukur Tanah ini.

Explore More