Disember 4, 2024

Search
Close this search box.

Baru-baru ini tular di media sosial tentang tarikh 1 Syawal yang dijangka jatuh pada 21 April 2023 (Jumaat), iaitu sehari lebih awal daripada tarikh yang tertera di kalendar. Keadaan mengingatkan masyarakat Malaysia kepada Hari Raya Aidilfitri yang disambut secara mengejut pada tahun lalu, yang juga awal sehari daripada tarikh jangkaan.

Justeru, pihak UTM NewsHub mendapatkan pandangan pakar dalam bidang falak dan astronomi UTM, Sr. Gs. Dr. Othman bin Zainon daripada Program Geoinformasi, Fakulti Alam Bina dan Ukur bagi menjawab persoalan ini. Namun, temu bual ini telah disunting bagi tujuan kejelasan dan kepanjangan teks.

SOALAN DAN JAWAPAN

UTM NewsHub: Berita tentang jangkaan Hari Raya pada tahun ini sekali lagi menjadi bualan hangat netizen di luar sana, apabila Pusat Astronomi Antarabangsa berpengkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) menjangkakan 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat (21 April 2023). Jadi sejauh manakah berita ini boleh diterima dalam konteks Malaysia, benarkah kita akan raya awal lagi tahun ini?

Dr. Othman: Isu ini adalah rentetan daripada ada satu hantaran TikTok atau Instagram yang memfokuskan bulan dan pada tarikh tersebut ada nampak garisan yang menunjukkan anak bulan. Keadaan ini sebenarnya dibuat berdasarkan perisian simulasi untuk melihat pergerakan cakerawala, contohnya Stellarium Astronomy Software yang sebenarnya sekadar memberi panduan kepada pengguna. Pergerakan bulan dan objek di cakerawala sememangnya berlaku, dan jika dilihat objek yang terdapat pada perisian seolah-olah kelihatan hilal (anak bulan). Namun, jika dilihat pada faktor lain bagi kaedah pencerapan, seperti udara kasar, pencemaran udara, kehadiran awan, kadar kebolehnampakan hilal itu bergantung kepada ketinggian hilal dan jarak lengkung dari pusat bulan ke pusat Matahari.

Dua faktor ini merupakan kriteria yang dipanggil Imkanur Rukyah yang digunakan dalam menentukan Takwim Islam, begitulah halnya dengan penentuan tarikh 1 Syawal. Kriteria yang saya sebutkan tadi melibatkan kaedah Rukyah (cerapan) dan Hisab (hitungan falak). Kaedah ini juga mengambil kira kedudukan lokasi sesebuah negara berdasarkan garisan longitud. Jadi apa yang diunjur oleh Pusat Astronomi Antarabangsa UAE itu tadi tidak sesuai diguna pakai bagi konteks Malaysia.

UTM NewsHub: Jika dilihat dalam tempoh setahun dua ini, penentuan tarikh 1 Ramadan dan 1 Syawal mendapat perhatian netizen berbanding sebelum ini. Mengapa perkara ini berlaku dan adakah situasi ini boleh dikatakan unik?

Dr. Othman: Sebenarnya situasi ini bukanlah perkara baharu dan unik. Situasi menyambut Hari Raya Puasa (1 Syawal) pada tarikh berbeza di kawasan tertentu pernah berlaku. Contohnya pada sekitar tahun 1980-an ada dua buah negeri di Malaysia pernah menyambut 1 Syawal awal sehari berbanding negeri lain. Begitu juga dengan tahun lepas, Singapura dan Brunei menyambut 1 Syawal lewat sedikit daripada Malaysia.

Keadaan ini sebenarnya bergantung kepada keputusan jabatan agama negara masing-masing, walaupun kaedah yang digunakan adalah sama, yang mana di Malaysia akhirnya kita merujuk keputusan daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

UTM NewsHub: Bolehkah Dr kongsikan bagaimana sebenarnya proses penentuan tarikh Hari Raya dibuat di Malaysia, mungkin Dr boleh jelaskan juga perkataan ‘Hilal’ yang sering disebut-sebut oleh masyarakat di luar dalam respons terhadap isu ini?

Dr. Othman: Di Malaysia, seperti yang saya nyatakan tadi kita mengguna pakai kriteria Imkanur Rukyah, iaitu kriteria kebolehnampakan yang digunakan semenjak dahulu lagi, yang melibatkan kaedah Rukyah dan Hisab bagi penentuan Kalendar Islam. Namun, bermula 1 Muharram 1443H, iaitu pada tahun lalu kriteria kebolehnampakan yang baharu.

Jika sebelum ini  tinggi hilal dari ufuk perlu tidak kurang dari 2° dan jarak lengkung dari pusat bulan ke pusat Matahari pula tidak kurang dari 3° atau umur bulan sekurang-kurangnya 8 jam ketika berlaku ijtimak. Kriteria terbaharu kini menetapkan sebelum tinggi hilal dari ufuk perlu tidak kurang dari 3° dan jarak lengkung dari pusat bulan ke pusat Matahari pula tidak kurang daripada 6° 24’ ketika merukyah. Cerapan hilal dibuat pada 29 haribulan setiap bulan bagi menentukan tarikh 1 haribulan bagi bulan berikutnya bagi takwim Islam. Tetapi, di Malaysia kita hanya memberi tumpuan utama kepada tiga bulan, iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.

Infografik kriteria Imkanur Rukyah baharu MABIMS (e-Hilal Universiti Malaya, 2022)

Ijtimak ini pula adalah apabila Matahari, Bulan dan Bumi berada dalam satu barisan (gerhana bulan). Ijtimak ini kebiasaannya dilakukan bermula waktu tengah hari di mana ia menjadi titik permulaan umur hilal diukur.

Ijtimak atau kejadian gerhana yang bakal berlaku pada 20 April ini (Agensi Angkasa Malaysia, 2023)

Cerapan ini juga mengambil kira matla’, iaitu tempat paling Timur dan paling Barat bagi sesebuah negara berdasarkan garisan longitud. Bagi Malaysia, tempat paling Timur adalah di Kampung Atiam, Semporna, Sabah, manakala tempat paling Barat adalah di Pulau Perak, Kedah.

Jadi setiap negara mempunyai kadar kenampakan yang berbeza mengikut kedudukan masing-masing, iaitu negara di sebelah Barat dunia mempunyai kedudukan anak bulan yang lebih tinggi, seperti Mesir yang membolehkan mereka melihat anak bulan terlebih dahulu.

Kaedah cerapan ini juga dilakukan sama ada melalui penglihatan mata kasar, teleskop atau teropong dan juga kamera. Namun, imej anak bulan yang dirakam melalui kamera tidak boleh diproses sebaliknya perlu dilihat secara terus pada skrin kamera bagi menentusahkan kadar kenampakannya.

Dari sudut hisab, iaitu pengiraan kadar kenampakan anak bulan boleh dilakukan melalui perisian dengan memasukkan tarikh (tahun Masihi) cerapan dibuat, garisan longitud dan latitud, waktu ijtimak dijangka berlaku, waktu jangkaan terbit dan tenggelam anak bulan. Kaedah ini membolehkan kita menjangka kenampakan anak bulan lebih awal, tetapi cerapan masih perlu dilakukan bagi mencukupkan kriteria Imkanur Rukyah.

UTM NewsHub: Jika Dr boleh kongsikan dengan kami, sebenarnya siapakah pihak-pihak yang terlibat dalam penentuan tarikh awal Ramadan dan Syawal, atau lebih tepat penentu akhir dalam memutuskan hal ini?

Dr. Othman: Pihak-pihak yang terlibat dalam proses ini kebiasaannya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mempunyai Panel Pakar Falak, Jabatan Muffti setiap negeri, dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), termasuklah Jawatankuasa Melihat Anak Bulan yang dilantik oleh Sultan atau Raja mengikut negeri. Pihak-pihak inilah yang terlibat dalam proses cerapan dan hisab. Jabatan Mufti dan JUPEM merupakan pihak yang terlibat dalam proses tadi bagi setiap bulan. Sebaliknya JAKIM hanya terlibat bagi penentuan tiga bulan utama yang sebutkan sebelum ini.

Hasil cerapan dan hisab yang telah disahkan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan kemudiannya dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi proses mendapatkan keputusan akhir bagi tarikh penting berkaitan tiga bulan tersebut.

UTM NewsHub: Apakah saranan atau pesanan Dr kepada netizen di luar sana berhubung penentuan tarikh sebegini pada masa hadapan?

Dr. Othman: Saya ingin menasihatkan masyarakat, janganlah percaya sepenuhnya maklumat yang tersebar di media sosial. Bertanyalah dan dapatkan maklumat yang sahih dan benar daripada pakar-pakar Falak di Malaysia, terutamanya dari kalangan akademia dan Panel Pakar Falak. Lihatlah juga dari sudut lokaliti selain waktu cerapan yang telah ditentukan. Buat masa ini terlalu awal untuk memutuskan tarikh 1 Syawal yang bakal tiba. Apa yang pasti, nantikan pengumuman daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kerana merekalah penentu akhir bagi tarikh berkenaan.

Explore More