Mei 2, 2024

Search
Close this search box.

Oleh : Amy Zuria Binti Abdul Ajid dan Mohd Azhari Kamarudin

NIBONG TEBAL, 3 Mac –  21 orang delegasi Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) UTM Johor Bahru dan UTM Kuala Lumpur yang diketuai oleh Pengurus UIRL, Dr. Wan Hairul Anuar Bin Kamaruddin telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Pusat Racun Negara (NPC) dan Pusat Penyelidikan Sains Dan Kejuruteraan (SERC), Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada staf PPMU untuk melakukan pelbagai penambahbaikan terhadap pengurusan makmal, pengurusan pentadbiran dan teknikal bagi memenuhi keperluan status akreditasi serta meningkatkan keterlihatan UTM di dalam bidang perkhidmatan makmal.

Dr. Wan Hairul Anuar bin Kamaruddin bersama Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman, Pengarah Pusat Racun Negara.

Lawatan penanda aras ini dimulakan dengan lawatan ke Pusat Racun Negara Malaysia (NPC) yang berpangkalan di Universiti Sains Malaysia (USM), Gelugor, Pulau Pinang.

Kedatangan delegasi UTM disambut mesra oleh Ts. Rafidah Hj Mat Yatim, Pegawai Sains Kanan, daripada Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) selaku Pegawai Pengiring bagi kedua-dua aktiviti lawatan ini.

NPC telah ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai pusat perundingan bagi maklumat dadah dan racun serta pengurusan keracunan.

Pada tahun 1998, ia telah diberikan peranan tambahan sebagai Pusat Perundingan Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi Maklumat Dadah (Wilayah Pasifik-Barat) atas perkhidmatan dan sumbangan dalam bidang kesihatan.

Pada tahun 2001, fungsi lain telah ditambahkan kepada NPC apabila ia dilantik oleh Yayasan Rockefeller, New York, untuk menubuhkan Pusat Pengumpulan Maklumat bagi Kawalan Tembakau (C-Tob) untuk menyokong aktiviti kawalan tembakau di rantau Asia Tenggara.

NPC merupakan makmal perkhidmatan yang mendapat tempat bagi industri racun, perubatan dan kosmetik bagi menjalankan pengujian racun dan serangga.

NPC menawarkan perkhidmatan menganalisa, mengenalpasti racun, bahan kimia, dadah dalam kes keracunan dan bukan keracunan kepada individu, industri, agensi dan penyelidik.

Selain membantu dalam pendaftaran produk (herba/makanan, produk kimia) dan keterjaminan kualiti (industri).

Taklimat dan penerangan ringkas mengenai peranan dan aktiviti NPC telah disampaikan oleh Pengarah NPC iaitu Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman.

Manakala Taklimat Kompetensi dan Pembangunan Bakat staf USM disampaikan oleh Chm. Dr. Normaliza Abdul Manaf iaitu Ketua Penyelaras Skim C USM.

Selesai sesi taklimat dan perbincangan, delegasi UTM dibawa melawat ke Makmal Toksikologi yang dilengkapi dengan peralatan pengujian yang canggih.

 

Dr. Wan Hairul menerima cenderahati daripada Pengarah SERC, Prof. Dr. Mohd Azmier Ahmad.

Lawatan pada sebelah tengahari diteruskan lagi ke adalah Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC) yang terletak di Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal.

Pusat ini merupakan makmal bersepadu yang menjalankan fungsi sebagai sebagai pusat pengujian dan analisis dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi dan state-of-the art research instrument. 

Antara topik perbincangan utama yang menjadi perbincangan hangat adalah modal bisnes serta inisiatif promosi dan pemasaran yang dijalankan oleh pihak SERC.

Pihak SERC USM telah pun mengambil inisiatif bekerjasama dengan USAINS Holding Sdn Bhd (USAINS) bagi memasarkan perkhidmatan pengujian dan analisa sampel.

USAINS juga bertanggungjawab menguruskan urusan yang melibatkan proses kewangan bagi perkhidmatan yang diberikan oleh SERC kepada pelanggan luar USM.

Antara perkara lain yang dibincangkan dalam sesi lawatan ini adalah pengurusan penyelenggaraan, pengurusan terjadual sisa bahan kimia, pembangunan bakat dan kompetensi staf serta insentif bagi staf teknikal turut dibincangkan di dalam lawatan penanda aras ini.

Sebelum mengakhiri sesi lawatan, kami dibawa melawat ke seluruh makmal pengujian dan analisis yang dilengkapi dengan fasiliti dan kelengkapan makmal yang canggih seperti makmal Electron microscope, makmal X-Ray, makmal Spectroscopy, makmal Chromatography dan lain-lain lagi.

Delegasi PPMU bersama Dr. Nur Azzalia Kamaruzaman, Pengarah Pusat Racun Negara, Ts. Rafidah Hj Mat Yatim dan Chm. Dr. Normaliza Abdul Manaf.
Delegasi PPMU bersama Prof. Dr. Mohd Azmier Ahmad, Pengarah Science and Engineering Research Centre (SERC), Ts. Rafidah Hj Mat Yatim dan Puan Hariy Bt. Pauzi serta staf SERC.

Adalah diharapkan jalinan kerjasama yang wujud diantara PPMU dengan NPC dan SERC hasil daripada lawatan ini, akan membuahkan benih yang akan menyubur menyantuni masa depan.

Jalinan kerjasama yang diharapkan adalah pertukaran pendapat, maklumat serta info semasa mengenai kaedah pengujian, penyelidikan dan teknologi terkini berkaitan makmal yang dapat menjadikan PPMU sebagai sebuah entiti perkhidmatan makmal berprestasi tinggi.

 

Explore More