Mei 9, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar KTC santuni anak yatim Pertubuhan Kebajikan An-Nur sempena bulan Ramadan

JOHOR BAHRU, 8 April – Bertepatan dengan tema “Imarahkan Ramadhan, Jalinkan Silaturahim”, program We Love, We Care (WLWC) dan Celik Tajwid Siri 2 (CTS2) merupakan sebuah program kolaborasi di mana program anjuran Exco Kebudayaan dan Kerohanian, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor (JKMKTC) sesi 2022/2023 ini merupakan satu inisiatif dalam menyantuni anak yatim dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti kerohanian di Pertubuhan Kebajikan An-Nur (PKAN).

Sementara itu, Program CTS2 pula adalah slot dakwah hasil cetusan Kelab Remaja Ukhuwah (KRU), sebuah kelab di bawah naungan JKM KTC. Program kolaborasi ini telah diadakan dengan mensasarkan 60 orang anak-anak yatim dari PKAN untuk mempelajari ilmu tajwid Al-Quran dengan lebih mendalam.

Program WLWC bertepatan dengan matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat dan kesepuluh iaitu  “Quality Education” dan “Reduced Inequalities”. Bagi program CTS2 pula, ia dilihat sebagai platform yang tepat untuk mencapai matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang kedua, keempat dan keenam belas iaitu sifar kelaparan, pendidikan berkualiti serta pembangunan, keadilan dan institusi yang kukuh.

Program ini telah dijalankan selama sehari bermula pada jam 2 petang dengan aktiviti ‘Ice Breaking’ setelah semua anak yatim tiba dan berkumpul di Dewan Al-Khawarizmi, Masjid Sultan Ismail (MSI).

Secara ringkasnya, aktiviti ini adalah untuk sesi suai kenal dan beramah mesra antara para peserta dan ahli jawatankuasa program. Acara diteruskan lagi dengan pengisian utama iaitu slot Celik Tajwid Siri 2 yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Firdaus Bin Pazim @ Fadzim.

Antara objektif utama program ini adalah untuk menarik minat anak-anak yatim dalam mempelajari ilmu tajwid dengan lebih mendalam di samping dapat meningkatkan kefahaman tentang hukum tajwid agar dapat melahirkan individu yang mahir membaca al-Quran secara “tartil”.

Program CTS2 telah melabuhkan tirainya pada jam 4 petang dan para peserta telah berkumpul di dewan solat MSI untuk bersama-sama menunaikan solat Asar secara berjemaah. Sijil penghargaan dan cenderamata kepada penceramah telah disampaikan oleh Pengerusi KRU, Abdul Hadi Fathi Bin Mohd Amin.

Slot Ice Breaking bersama anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan An-Nur (PKAN)

Slot Celik Tajwid disampaikan oleh Ustaz Mohamad Firdaus Bin Pazim @ Fadzim sebagai Penceramah

Slot Penyerahan Sijil Penghargaan dan Cenderamata kepada Penceramah

Program WLWC pula mengambil alih slot dengan mengadakan lawatan ke Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) bagi memperkenalkan perpustakaan tersebut kepada anak-anak tersebut.

Seterusnya, selepas solat asar, program diteruskan dengan UTM Tour yang melibatkan beberapa fakulti di UTM serta bangunan-bangunan penting sebagai tujuan untuk memberikan pendedahan kepada anak-anak tersebut tentang universiti ini terutamanya dari segi suasana pembelajaran di sana.

Program kolaborasi ini telah melabuhkan tirai pada 6.15 pm dengan Majlis Penutup yang diadakan di Dewan Astana, S01 Kolej Tuanku Canselor (KTC).

Majlis tersebut telah ditutup dan dirasmikan oleh Pengetua KTC, Prof. Ir. Dr. Sharul Kamal bin Abdul Rahim dengan melepaskan reben pada bunting perasmian program.

Sijil penghargaan, baju dermaan serta kutipan derma sebanyak RM 419.00 telah disampaikan oleh Pengetua KTC kepada wakil PKAN sebelum majlis berakhir. Sebelum program tamat, sesi berbuka puasa bersama anak-anak yatim PKAN serta solat maghrib, isyak dan terawih berjemaah turut dijalankan.

Slot Lawatan ke Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) diketuai oleh Pustakawan PSZ

Slot UTM Tour bermula dengan sesi penggambaran di kawasan mercu tanda #IAMUTM sebagai kenangan

Penganjuran program kolaborasi ini sedikit sebanyak memberi pengetahuan dan pengalaman yang berguna kepada para peserta terutama sekali dalam pembacaan Al-Quran dengan makhraj serta tajwid yang betul dan tepat serta menambah nilai-nilai kerohanian dalam kalangan peserta serta ahli jawatankuasa program.

Ahli jawatankuasa program sangat berbesar hati dapat mengendalikan program yang pada mereka memberi impak yang besar kerana berpeluang meluangkan masa dan menyantuni anak-anak yatim dari PKAN.

Dalam masa yang sama, ahli jawatankuasa program juga berkesempatan untuk mempelajari kemahiran insaniah dalam melaksanakan program dan menambah pengalaman pada masa hadapan kelak selepas tamat pengajian mereka.

Ketibaan Pengetua KTC sebagai VIP berserta wakil PKAN, Felo dan Pembantu Felo Penasihat Program ke Majlis Penutup

Explore More