Februari 27, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar Geoinformatik UTM rasai pengalaman sesi PBL bersama Sireh Park

NUSAJAYA, 12 Apr. – Pelajar-pelajar Tahun 1 Program Geoinformatik Sesi 2022/2023 telah berpeluang menjalani sesi PBL bersama Sireh Park di bawah pengurusan The Nusajaya Natural Heritage Trust (TNNHT), Nusajaya.

Untuk tujuan ini, satu taklimat secara atas talian telah diberikan oleh LAr. Norhaliza binti Ahmad selaku Pengurus Sireh Park berkaitan pengurusan taman dalam bandar dan keperluan permasalahan yang boleh diselesaikan menggunakan aplikasi geospatial.

Susulan taklimat tersebut pelajar-pelajar diminta menyiapkan projek secara berkumpulan dengan  jangka masa projek adalah selama 5 minggu bermula dari 23 Disember 2022 sehingga 27 Januari 2023.

Pembelajaran berasaskan masalah (Problem-Based Learning – PBL) merupakan salah satu inisiatif proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) aktif berpusatkan pelajar yang menggunakan masalah sebenar di industri bagi merangsang pelajar bertindak sebagai penyelesai masalah serta berkemahiran dalam menggunakan pemikiran kritis untuk menyelesaikan masalah tersebut, pembelajaran kendiri, gerak kerja berpasukan dan menguasai kemahiran komunikasi.

Menyedari impak positif kaedah PBL ini, ianya telah mula dilaksanakan oleh Program Geoinformatik bagi kursus Pengenalan kepada Sains Maklumat Geografi (GIS) yang ditawarkan kepada pelajar baharu semester pertama sejak sesi 2019/2020 di UTM.

Subjek atau kursus teras ini penting memandangkan ia merupakan titik pertama pengenalan kepada bidang geospatial kepada pelajar-pelajar baru.

Melalui konsep PBL ini, pelajar-pelajar diberikan pendedahan seawal mungkin peranan GIS dalam menyelesaikan permasalahan industri dengan mengambil kira situasi sebenar di lapangan.

Bukan sekadar pembelajaran akademik melalui pendedahan kepada teknologi dan aplikasi GIS, alatan GPS, perisian seperti QGIS, melalui gerak kerja berpasukan bagi menyelesaikan permasalahan yang diberi, setiap pelajar diberi peranan, tanggungjawab dan tugasan masing-masing.

Dengan memupuk kepercayaan akan kemampuan ahli kumpulan masing-masing, berserta komunikasi berkesan sesama mereka, sikap proaktif  telah membantu pelajar-pelajar menyiapkan tugasan mereka dengan lebih mudah dan sistematik.

Manfaat pembelajaran berteraskan PBL ini bukan sahaja memberi impak positif kepada pelajar-pelajar baharu, malah turut memberi impak kepada industri yang terlibat, Sireh Park.

Projek ini telah membolehkan Sireh Park merekodkan data baharu dengan pemetaan data yang lebih terkini. Pemetaan terbaharu memudahkan pihak pengurusan taman mengenalpasti lokasi dan koordinat pokok-pokok di dalam taman, spesies pokok, serta maklumat penanaman yang dikemaskini.

Kerja-kerja pemetaan di lapangan juga turut secara tidak langsung mempromosikan taman dalam bandar Sireh Park kepada pelajar-pelajar.

Selain menjadi lokasi pembelajaran, ianya turut memberi pendedahan kepada kemudahan-kemudahan dan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di Sireh Park seperti trek jogging, memancing, perkemahan dan sebagainya.

Pelajar-pelajar Tahun 1 Program Geoinformatik Sesi 2022/2023 mengambil kesempatan bergambar di Sireh Park
Sebahagian pelajar bersama LAr. Norhaliza binti Ahmad, Pengurus SIREH Park (tengah)
Pelajar-pelajar ketika berada di lapangan

Kerjasama program Geoinformatik dan SIREH Park melalui pembelajaran berteraskan PBL ini memberi gambaran awal akan situasi sebenar dunia pekerjaan kepada pelajar-pelajar, seterusnya boleh menjadi persediaan awal mereka memasuki dunia pekerjaan apabila tamat belajar kelak.

Explore More