April 19, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Persatuan Pandu Puteri (Klover) Universiti Teknologi Malaysia telah di jemput sebagai pembentang poster di reruai pameran yang telah diadakan di Wisma Pandu Puteri Malaysia, Jalan Pantai Baharu.

Dua orang pelajar iaitu Nurul Fasihah binti Arshad dan Noor Khairiyah Binti Hasnul Hadi dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan telah membentangkan poster bertema Kempen Advokasi Bebaskan Diriku.

Penyelarasan di peringkat Universiti Teknologi Malaysia telah dilakukan oleh Dr. Nor Zafir Md Salleh selaku Kapten Pasukan Pandu Puteri Klover UTM dan Pesuruhjaya Bahagian Pandu Puteri Klover Kebangsaan.

Pembentangan poster ini diadakan bersempena kunjungan hormat Presiden Singapura, YM Dato Halimah Yacob ke Wisma Pandu Puteri Malaysia. Ketibaan Presiden Singapura itu disambut YTAM Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan YAB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia. Turut berangkat, YM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.


Pasukan Pandu Puteri Klover UTM sedang membentang poster berkenaan kempen advokasi Bebaskan Diriku yang telah dijalankan sambil didengari oleh Presiden Singapura, Dato Halimah Yacob dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah.
Pasukan Pandu Puteri Klover UTM, UPM dan UTHM bersama Dato Jeyadhevi, Ketua Pesuruhjaya dan barisan Lembaga Eksekutif Kebangsaan.


Majlis ini juga telah disertai oleh para pensyarah dan ahli Pandu Puteri daripada Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Putra Malaysia (UPM), serta ahli Pasukan Pandu Puteri Remaja, Renjer dan Tunas.

Dato Halimah Yacob dalam ucapannya berkata, pihaknya gembira melihat hubungan yang semakin meningkat antara pergerakan Pandu Puteri kedua-dua negara selain tertarik untuk mengetahui tentang aktiviti kreatif yang sering dianjurkan oleh Persatuan Pandu Puteri Malaysia dengan penglibatan semua peringkat umur.

“Selain membangunkan empati dan kepimpinan, platform sebegini juga sekaligus membantu ahli membangunkan pemahaman silang budaya dan perspektif global,”katanya.

“Pergerakan Pandu Puteri amat dekat di hati saya kerana ia bukan hanya mendedahkan wanita muda dengan rasa keakraban, tetapi memberi inspirasi kepada mereka untuk aktif dalam masyarakat.” tambah beliau.

Pasukan Pandu Puteri Klover UTM bersama Pesuruhjaya Pandu Puteri Klover Kebangsaan, Dr. Nor Zafir Md Salleh.


Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia iaitu YAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Secara keseluruhannya, program ini telah memberikan pendedahan keapda Pasukan Pandu Puteri Klover UTM terutama dalam membentangkan poster kempen advokasi yang telah dijalankan kepada dif-dif kehormat negara.

Explore More