Mei 4, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Nurul Ain binti Mohd Fauzi, Nurdayana Natasha Mohd Johan dan Su Zalpha Mohamed

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Majlis Apresiasi Gemilang 2023 (MAG ’23) telah diadakan dengan gilang gemilang pada 21 Mac 2023 di Grand Banquet Hall, Residensi UTM Kuala Lumpur dengan tema Klasik Tradisional.

Antara tetamu yang hadir mengikut Tema Klasik Tradisional

 Majlis Apresiasi Gemilang merupakan acara tahunan Kolej Siswa jaya bagi meraikan mahasiswa tahun satu Asasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang pertama kali memasuki alam universiti.

Selain itu, MAG ’23 ini juga merupakan platform khas untuk memberikan anugerah dan penghargaan kepada Mahasiswa dan Majlis Felow yang telah menunjukkan kecemerlangan kepimpinan dalam penganjuran aktiviti-aktiviti Kolej.

Penganjuran MAG ’23 ini adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan mahasiswa khasnya agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.

Majlis Felow bersama Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, Pro-Naib Canselor (Kampus UTMKL) dan Pengarah, Hal Ehwal Pelajar, UTMKL, Prof. Ts. Dr. Aminuddin Hj. Abu

Dua kategori anugerah telah dipertandingkan pada malam tersebut iaitu Anugerah Majlis Felow dan Anugerah Ikon Mahasiswa.

Bagi Anugerah Majlis Felow tiga kategori telah dipertandingkan iaitu Anugerah Keberanian Handal diberikan kepada Felow yang menjadi inspirasi kepada para mahasiswa, Anugerah Kebaktian diberikan kepada Felow yang berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab dan Amanah yang diberikan dan Anugerah Pekerti Terpilih diberikan kepada Felow yang menjadi kegemaran mahasiswa kolej.

Penerima Anugerah Keberanian Handal, Anugerah Kebaktian dan Anugerah Pekerti Terpilih

Manakala bagi Anugerah Ikon Mahasiswa enam kategori telah dipertandingkan dan satu kategori Khas diberikan kepada Ikon yang menonjol dan terbaik dalam kalangan enam penerima Ikon Anugerah yang dipertandingkan.

Keenam-enam Anugerah tersebut adalah Anugerah Program Terbaik, Anugerah Ikon Kepimpinan, Anugerah Ikon Kesukarelawanan, Anugerah Ikon Sukan, Anugerah Ikon Kebudayaan dan Anugerah Ikon Patriotisme.

Selain itu Majlis Felow Kolej Siswa Jaya telah berbesar hati untuk memberikan dua anugerah istimewa iaitu Anugerah Gemalai Tari dan Anugerah Budi Penyayang.

Penerima Anugerah bagi Kategori yang dipertandingkan

Saudari Nurdayana Natasha Mohd Johan, pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Elektronik telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas pada malam tersebut iaitu Anugerah Khas Ibnu Ummu Maktum.

Anugerah ini diberikan atas kecemerlangan dan komitmen beliau dalam memimpin dan menganjurkan aktiviti-aktiviti berimpak tinggi.

 

Nurdayana Natasha Mohd Johan, Penerima Anugerah Khas Ibnu Ummu Maktum

Hadir sebagai Perasmi, Profesor Ts. Dr. Abd Latif Saleh, Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur) menyatakan harapan beliau untuk melihat semua mahasiswa UTM bergraduasi dengan ilmu yang penuh di dada dan sentiasa bersiap siaga untuk berdepan dengan pelbagai cabaran baru dalam meneroka ilmu dan teknologi terkini.

Urusetia majlis turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak UTM Holdings atas penajaan dewan untuk Majlis Apresiasi Gemilang 2023 ini.

 

 

Explore More