Disember 14, 2024

Search
Close this search box.

UTM-UNSRI Lancar Pusat Penyelidikan Pertama dan Pejabat Satelit Kedua di Indonesia

Oleh Nurul Amrie Abdullah

PALEMBANG, 3 Mac. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Sriwijaya (UNSRI) melakar sejarah hari ini dengan pelancaran UNSRI-UTM Research Center (Pejabat Satelit UTM) bertempat di UNSRI Palembang, Sumatera Selatan Indonesia. UNSRI-UTM Research Center ini merupakan pusat penyelidikan pertama dan pejabat satelit kedua dilancarkan di Indonesia, selepas Pejabat Satelit UTM-Universitas Negeri Malang (UM) dilancarkan pada September 2022.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, pelancaran pejabat ini menunjukkan komitmen utuh dalam menyuntik serta memperkasakan kecemerlangan di kedua-dua buah universiti. Tambah Prof Ahmad Fauzi lagi, “ini merupakan manifestasi hubungan global praktikal antara UTM dan UNSRI khusus dalam bidang akademik dan penyelidikan, dengan fokus kepada perkembangan teknologi, pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi’’.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail

Model kolaborasi seperti pejabat satelit antara universiti di dua negara ini juga sangat diperlukan dalam mengatasi cabaran global kini. Hal ini mampu menyemarakkan lagi aktiviti penyelidikan dalam menginovasi penyelesaian terhadap keperluan utama dunia seperti tenaga, teknologi agrikultur dan keterjaminan makanan; yang menjadi salah satu inisiatif di dalam Moonshot enVision UTM tahun ini.

Rektor UNSRI, Prof. Dr. Ir. H. Anis Saggaf turut berkata, “dengan adanya kolaborasi antara UTM dan UNSRI, penelitian yang dilakukan akan lebih fokus kepada pengembangan teknologi yang relevan dengan keperluan masyarakat dan industri, sehingga dapat membantu meningkatkan daya saing, sosio-ekonomi dan kesejahteraan masyarakat”.

Rektor UNSRI, Prof. Dr. Ir. H. Anis Saggaf
Pelancaran Pusat Penyelidikan UTM-UNSRI

Seusai pelancaran, Naib Canselor dijemput untuk memberi ucaptama dan perkongsian berkaitan ‘Kecemerlangan Kesarjanaan dan Kemampanan Institusi Pendidikan Tinggi’ bersama pengurusan dan pegawai-pegawai kanan UNSRI. Turut hadir dari UTM adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias; Pengarah Kampus UTM Pagoh, Prof. Dr Safian Sharif dan Prof. Ir. Dr. Mahmood Md. Tahir, Profesor UTM.

 

Naib Canselor UTM menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Kecemerlangan Kesarjanaan dan Kemampanan Institusi Pendidikan Tinggi’



Explore More