April 26, 2024

Search
Close this search box.
Para peserta bersama pihak penganjur bergambar selepas berakhir program

PAGOH, 16 Feb. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi peneraju dalam program outreach di daerah Tangkak melalui pelaksanaan Team-Up with Invisible Yet Powerful Organism (TINY) pada 14-15 Februari 2022.

Program yang mendapat tajaan penuh daripada Malaysian Society for Microbiology (MSM) dengan penyertaan daripada pelajar SMK Bukit Gambir, Tangkak telah berjaya diadakan bertujuan untuk meningkatkan literasi mikrobiologi melalui pembelajaran aktif di luar kelas.

Diketuai oleh Dr. Abd Rahman Jabir Mohd Din dan turut dibantu oleh staf Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocess (ICA) UTM Kampus Pagoh, program tersebut telah berjaya mempromosikan pemindahan ilmu tentang asas mikrobiologi dalam pembangunan lestari dan kesihatan umum.  

Aktivti hari pertama program yang diadakan termasuk seminar kepentingan mikroorganisma dan eksperimen mudah berkaitan pemencilan bakteria terpilih. Eksperimen ini dicadangkan supaya pelajar boleh merasai pengalaman hands-on bagaimana sesuatu bakteria itu dipencilkan sebelum identiti mikroorganisma dikenalpasti melalui aktiviti molekular. Ini termasuk penyediaan agar, pengiraan bakteria asid laktik dan observasi keputusan eksperimen.

Mereka telah dibahagikan mengikut kumpulan dan disediakan sampel makanan komersil berasaskan penapaian untuk aktiviti eksperimen tersebut. Pameran mock agar plate daripada bakteria berfaedah yang telah dipencilkan telah dibuat untuk memberikan morfologi sebenar mikroorganisma yang berperanan menjamin hubungan usus yang sihat.

 

Di samping itu, kesedaran tentang kepentingan mikroorganisma sememangnya menjadi keutamaan program ini bagi menangkis salah faham dan persepsi negatif tetang bakteria. Pada sesi berikutnya, para peserta berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman praktikal penghasilan yogurt dengan dibantu oleh tenaga pengajar terlatih. Kesemua inisiatif aktiviti yang dilaksanakan untuk memastikan pembudayaan STEM berlaku di luar bilik kelas.

Pada hari kedua program, lawatan kilang cendawan C&C Mushroom Cultivation Sdn Bhd telah diadakan bagi memberi pendedahan sebenar industri makanan berasaskan mikrobiologi ini dijalankan. Rombongan peserta SMK Bukit Gambir telah disambut ceria oleh Pengarah Eksekutif, Tuan Chew Swee King dan diberi taklimat penerangan ringkas sebelum aktviti jelajah kilang bermula.

Melalui aktiviti lawatan ini, imaginasi kognitif pelajar telah dirangsang untuk memastikan segala teori yang dipelajari dapat dihubungkaitkan. Keterujaan pelajar dan guru jelas tergambar apabila mendapat cendawan segar sebagai buah tangan di akhir sesi lawatan. Semoga dengan program seumpama ini, kerjasama erat dan projek kolaborasi boleh dibuat bagi manfaat pihak berkenaan dalam pembangunan komuniti yang lebih lestari dan celik ilmu.

 

Explore More