Disember 2, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Hafizan Hamzah

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan beberapa siri Program Bantuan Banjir bagi meringankan beban mahasiswa, staf dan komuniti sekitar negeri Johor yang terkesan dengan bencana banjir yang melanda sejak awal Mac lalu.

Antara inisiatif yang dilancarkan adalah Tabung Bantuan UTM 2023, Program Bantuan Bencana Banjir 2023 (untuk mahasiswa UTM) dan juga Pencarian Sukarelawan Misi Banjir 2023 UTM.

Timbalan Pendaftar Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP), Arman Md Yassin berkata program Bantuan Bencana Banjir 2023 UTM  ini ditubuhkan sebagai plaftorm menyalurkan bantuan kepada mahasiswa yang terkesan dengan bencana alam ini.

“Melalui inisiatif ini, mahasiswa terkesan dikehendaki mengisi borang permohonan digital ‘Google Form’ dengan menyatakan maklumat seperti nama, nombor matrik, nombor telefon, alamat kediaman terjejas, keterangan semasa banjir dan juga bukti terjejas banjir seperti gambar dan juga laporan ringkas mengenai kerosakan yang dialami.

“Bantuan yang diberikan adalah berupa pemberian wang tunai RM200.00 yang akan dikreditkan ke dalam akaun pelajar yang memohon dan diberikan secara ‘one-off’ kepada mahasiswa berkenaan,” katanya.

Menurutnya lagi, dana bantuan ini diambil dari Tabung Khairat Pelajar yang sememangnya sudah lama wujud dan sejumlah wang akan dipotong ketika pelajar membayar yuran pada setiap semester khas bagi bantuan banjir.

“Setakat ini seramai 80 orang mahasiswa dari seluruh negara telah mengisi borang atas talian ini dengan kebanyakan darinya berasal dari sekitar negeri Johor Darul Takzim yang terkesan dengan teruknya akibat dari bencana ini,” katanya lagi.

Menurut Arman lagi, JTNCHEP juga telah turun padang ke beberapa lokasi Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di daerah Kota Tinggi, Johor bagi menghulurkan bantuan berupa Bakul Rahmah kepada mangsa yang terkesan dengan banjir pada 3 Mac lalu.

“Sebanyak 35 pek Bakul Rahmah telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (HEP), YBrs. Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin kepada PPS Sekolah Rendah Agama Bersepadu dan Sekolah Kebangsaan Laksamana Kota Tinggi.

“Prof. Shamsul juga berpeluang menyerahkan sendiri bantuan tersebut kepada pelajar UTM yang berada di PPS Sekolah Kebangsaan Laksamana tersebut,” katanya lagi

Turut serta dalam misi bantuan banjir ini adalah Pengarah Pembangunan Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan bin Abdul Latib serta pegawai-pegawai kanan JTNCHEP.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa Induk UTM Prihatin, Haironizam Mohamed berkata seramai 200 orang sukarelawan UTM yang terdiri dari staf dan mahasiswa sedang ‘tunggu sedia’ untuk digerakkan ke daerah Segamat pada 7 Mac ini.

“Kesemua sukarelawan ini tidak diberikan sebarang emolumen dari UTM tetapi diberikan perlindungan insuran nyawa dan juga dibekalkan dengan pil pencegah penyakit bagi melindungi diri mereka semasa menyertai misi ini.

“Bagi melayakkan seseorang staf menyertai sebagai sukarelawan UTM mestilah mematuhi beberapa syarat tertentu seperti berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami gejala COVID-19 seperti batuk, selsema dan demam,” katanya.

Menurut Haironizam lagi, peserta juga seharusnya bersedia untuk melaksanakan segala tugasan yang diatur tanpa mengharapkan ganjaran ataupun saguhati serta rajin dan proaktif dalam melaksanakan misi  dan tugasan sukarelawan.

“Peserta juga dituntut untuk sentiasa bersemangat kental dari aspek rohani dan jasmani dalam menjalankan misi serta tidak mengharapkan keselesaan dalam menjalankan misi.

“Sukarelawan harus bersedia dan menyiapkan diri menerima arahan dari semasa ke semasa ketika menjalankan misi yang ditugaskan,” katanya lagi.

 

Antara kotak berisi bahan makanan untuk diedarkan kepada mangsa banjir di PPS daerah Kota Tinggi
Sukaralewan UTM membantu memunggah barangan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di PPS daerah Kota Tinggi
Antara kakitangan JTCHEP yang terlibat dalam misi bantuan banjir UTM di PPS Kota Tinggi

 

 

 

Explore More