Mei 9, 2024

Search
Close this search box.

UTM KL anjur ceramah “Da’wah : Responsibility of Every Muslim”

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Sebuah program ceramah khas bertajuk “Da’wah : Responsibility of Every Muslim” telah dianjurkan oleh Pusat Islam UTM Kuala Lumpur dengan kerjasama rakan strategik Hidayah Centre Foundation (HCF) dan Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) bertempat di Masjid UTM Kuala Lumpur.

Hidayah Centre Foundation merupakan sebuah institusi yang berkhidmat untuk menghubungkan komuniti daripada pelbagai etnik dan agama di Malaysia tertumpu kepada masyarakat berbilang bangsa dan agama, serta mualaf yang memerlukan bantuan dan bimbingan dalam pelbagai aspek.

Shaikh Uthman Ibn Farooq

Khusus untuk ceramah ini, pihak Hidayah Centre Foundation telah menjemput Shaikh Uthman Ibn Farooq, merupakan Imam di Masjid Al-Ribat Al-Islami, San Diego, California untuk berkongsi pengalaman dan ilmu.

Tujuan penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai keperluan dan tanggungjawab berdakwah kepada warga UTM dan komuniti. Dalam perkongsian penceramah, beliau telah berkongsi mengenai  pengalaman beliau yang dulunya merupakan salah seorang ahli sebuah kumpulan kongsi gelap di Amerika Syarikat, lalu menjumpai jalan pulang kepada Allah SWT. Selain itu, beliau juga menyentuh dan memperingatkan kepada peserta tentang kepentingan dan tanggungjawab seorang Muslim kepada Muslim dan juga kepada mereka yang bukan Muslim.

Prof. Abd Latif ketika memberi ucapan pada program tersebut.

Pro-Naib Canselor Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof. Ts. Dr. Abd Latif bin Saleh berkata, “Ianya adalah sangat penting bagi seluruh warga UTM dan peserta untuk memahami dan menyedari akan tanggungjawab dan kepentingan menyampaikan dakwah Islamiyyah kepada komuniti setempat.”

Beliau turut berharap agar program seperti ini dapat dijadikan platform untuk seluruh warga UTM dan komuniti yang hadir daripada pelbagai latar belakang dan bangsa untuk menimba ilmu, mendapatkan manfaat dan seterusnya memupuk nilai-nilai murni di dalam diri.

Ustaz Noli Husain ketika menyampaikan ucapan mewakili pihak Hidayah Centre Foundation.

Selain itu, Ustaz Noli Husain, Pengarah Jabatan Outreach, Hidayah Centre Foundation berkata, “Mungkin ada yang mengatakan bahawa dakwah hanya khusus untuk para Ulama’ sahaja. Ada juga yang mengatakan mereka tidak mempunyai masa untuk apa-apa perkara berkaitan Islam. Tetapi, untuk menyampaikan mesej Islam, ia tidak memerlukan keilmuan yang tinggi. Sesiapa sahaja boleh melakukannya melalui semua platform yang ada.”

Beliau juga berkata, “Bagi menyampaikan dakwah kepada mereka yang belum memeluk Islam, kami sentiasa menyarankan kepada semua Muslim untuk membawa mereka yang tersebut ke “Hari Terbuka Masjid”. Kita boleh mengajak mereka melakukan apa sahaja Ibadah seperti berwuduk atau berpuasa dan bersarapan bersama. Semasa sesi tersebut, kita seharusnya berkongsi dan menerangkan tentang Allah dan Islam kepada mereka. Kami melakukannya dengan cara yang harmoni dan kami percaya cara paling berkesan untuk menyampaikan Islam adalah melalui perwatakan yang baik, budi pekerti yang baik dan hidup melalui teladan.”

Pelbagai perkongsian dan persoalan telah dibincangkan serta diutarakan sewaktu sesi soal jawab bersama peserta dan diharapkan agar program seperti ini dapat memotivasikan warga UTM untuk menghidupkan semangat berdakwah, seterusnya mendapat keredhaan dan pahala daripada Allah SWT.

Explore More