November 4, 2024

Search
Close this search box.

Sekilas bersama Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin: Menginovasi Penyelesaian Melalui Teknologi

Wanita sering dikaitkan dengan pelbagai tanggungjawab yang besar dan tidak putus-putus. Tambahan pula dengan kepesatan teknologi kini, penerimaan e-mel dan notifikasi aplikasi WhatsApp ibarat menuntut penggunanya untuk sentiasa bersedia selama 24 jam.  Kegagalan merancang masa sudah pasti akan memberi impak yang sangat besar terhadap seseorang individu terutamanya kepada wanita bekerjaya dalam melunaskan tanggungjawab masing-masing.

Menjadi seorang wanita bekerjaya dan dalam masa yang sama mempunyai tanggungjawab penuh terhadap keluarga, ibu yang uzur serta organisasi bukanlah perkara yang mudah. Namun, akui Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin atau nama mesranya Prof. Niza, Profesor di Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang sudahpun berkhidmat selama 30 tahun di Universiti Sanjungan Bangsa ini, cabaran-cabaran ini dijadikan sebagai peluang kepada beliau untuk menambah baik diri sendiri dalam merancang masa dan mengurus tekanan.

“Kalau dalam bidang Matematik, setiap masalah pasti ada jawapan”, seloroh beliau apabila ditanya mengenai kebuntuan sesetengah wanita yang masih kabur dalam perancangan masa yang merupakan salah satu penyumbang kepada tekanan wanita zaman ini.

Urus Masa dan Tanggungjawab dengan Teknologi

“Bagi saya, masa adalah senjata utama yang mampu mengurus kehidupan seseorang individu dan saya sangat peka dan amat berhati-hati dengan elemen masa ini. Ilmu menepati masa ini sealiran dengan pegangan Kelab Toastmasters International yang mana sehingga kini, sudah lapan tahun saya terlibat secara aktif dalam UTM Toastmasters Club. Sebagai seorang isteri, ibu, pensyarah juga seorang ketua saya berpendapat bahawa teknologi dapat membantu saya mengurus masa. Pengurusan masa yang baik amatlah penting bagi membolehkan seseorang individu merancang tanggungjawab dan untuk sentiasa bersedia.” ulas beliau yang juga merupakan Immediate Past President di kelab tersebut.

Bersama-sama salah seorang pelajar PhD, juga merupakan ahli aktif UTM Toastmasters Club.

Baru-baru ini, Prof Niza telah menerima pengiktirafan kecemerlangan dalam penyeliaan pendidikan daripada UK Council for Graduate Education (UKCGE). Beliau telah berjaya menyelia dan menggraduankan seramai 40 orang pelajar PhD di bawah seliaannya, termasuk Pemegang PhD Termuda di Malaysia Book of Record 2014, Dr Hazzirah Izzati Mat Hassim, yang menamatkan pengajian pada usia 24 tahun. Selain itu, 80% pelajarnya telah tamat pengajian tepat pada masanya.

“Saya amat memahami bahawa setiap daripada individu mempunyai tanggungjawab yang berbeza-beza. Oleh itu, dalam bidang penyeliaan pelajar, saya akan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi melalui laman Facebook untuk saya “berhubung” dan bertemu janji dengan mereka. Kebiasaannya pada hari Sabtu, saya akan menguar-uarkan jadual mingguan saya dalam Facebook Group khas bersama para pelajar saya. Jadi, secara tidak langsung mereka juga boleh merancang waktu untuk berjumpa dengan saya dan boleh buat janji temu terus dengan saya tanpa teragak-agak berdasarkan jadual tersebut.

Jarak bukan penghalang dalam berkongsi ilmu dan menyelia. Penyeliaan di atas talian bersama pelajar dan bekas pelajar PhD beliau yang kini berada di Afghanistan dan Nigeria.

“Selain itu, saya juga memanfaatkan sepenuhnya aplikasi Google Calendar untuk saya blok masa bagi kesemua janji temu saya, dan dalam masa yang sama perancangan waktu saya akan lebih teratur serta mengurangkan tekanan. Jika tidak boleh bersua muka, teknologi seperti Zoom, Webex dan juga Google Meet akan saya gunakan sepenuhnya. Kadang kala, ada juga pelajar yang bukan di bawah seliaan atau jabatan saya yang membuat temu janji bagi meminta nasihat dalam pelajaran dan aspek kehidupan. Contohnya, pada dua minggu lepas seorang pelajar PhD yang bukan di bawah penyeliaan saya, malah dari Fakulti yang berbeza datang meminta pendapat dan pandangan daripada saya tentang pengajiannya.” ulas beliau apabila ditanya tentang tip penyeliaan pelajarnya.   

Pick Up the Lost Time

“Saya juga mengambil peluang dan giliran dengan adik-beradik menjaga ibu saya yang uzur, jadi itulah bagi saya peluang untuk saya pick up the lost time dengan ibu saya. Kasih ibu kekal abadi dan sehingga kini kami akan menggunakan sepenuhnya masa yang diberikan untuk menjaga ibu, wanita terhebat dalam hidup kami. Selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, saya telah terpilih untuk terbang ke luar negara untuk menyambung pengajian, kemudiannya bekerja dan berkahwin. Pada ketika itu, masa berlalu begitu pantas, tidak sempat untuk berhubung dengan kawan-kawan sekolah secara dekat. Dan saya faham masing-masing sibuk dengan komitmen masing-masing. Jadi, bila ada kesempatan waktu pulang ke kampung menziarahi ibu saya, akan saya gunakan untuk bertemu dengan rakan-rakan lama.

Prof. Niza meluangkan masa bersama-sama rakan tadikanya di hujung minggu.

“Itulah sebenarnya salah satu daripada cara saya mengurus stres bekerja, dengan berhubung semula dengan kawan-kawan lama. Selain itu, ramai berpendapat bahawa jika sudah berkahwin, pasti kita perlu melupakan hobi dan minat kita. Bagi saya pula, hobi merupakan satu keperluan untuk kita berdamai dengan jiwa dan mencari semangat baharu dan melunaskan tanggungjawab. Saya suka mengumpul setem dan duit-duit lama, melihat koleksi tersebut boleh membuatkan saya berasa tenang. Pesan saya, ambillah masa dengan berhobi, ia dapat mengurus tekanan dengan baik” tambah beliau lagi.

KASIH Wanita 2023

“Saya amat teruja dengan konsep KASIH Wanita ini. Elemen di dalamnya menyedarkan saya bahawa dalam menjadi seorang wanita yang memakai “topi” dan keperluan yang berbeza-beza, setiap daripada kita adalah istimewa. Tak kira siapa pun kita, kita perlu sentiasa menghargai diri sendiri, beri waktu pada diri sendiri, urus tekanan dengan baik serta percaya bahawa KASIH kita akan memberi impak yang sangat besar kepada orang lain termasuklah kepada keluarga (suami dan anak-anak), ibu bapa, adik-beradik, pelajar dan masyarakat.”

Sambutan Hari Wanita peringkat Malaysia pada tahun ini telah membawakan tema KASIH Wanita dalam menggarap elemen Kasih sayang, Akhlak Mulia, Sihat, Ilmu dan Harmoni sejajar dengan dengan konsep Madani yang dibawakan oleh kerajaan.

Explore More