Disember 9, 2024

Search
Close this search box.

Program Parit Bugis Yuk! Peluang Mahasiswa UTM Selami Budaya Masyarakat Jawa

Oleh: Siti Nurliyana Binti Ngarbi & Muhammad Hafizi Bin Mohd Diah

MUAR, 14 Mac – Kelab Lambaian Masyarakat (KLM) yang merupakan sebuah kelab di bawah naungan Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Tuanku Canselor (JKM KTC) telah menganjurkan sebuah program yang digelar “Parit Bugis Yuk!” pada 14 hingga 16 Mac 2023.

Program ini bertempat di Kampung Parit Bugis, Muar, iaitu sebuah kampung yang kaya dengan adat dan budaya masyarakat Jawa Johor.

Program ini dijayakan oleh 20 orang ahli jawatankuasa dan turut disertai oleh 10 orang pelajar tempatan serta 10 orang pelajar antarabangsa dari pelbagai negara seperti Egypt, Nigeria, Morocco, Iran dan Sudan.

Program ini juga telah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-4 kerana para peserta berpeluang menyelami budaya masyarakat Jawa seperti tarian, adat resam, makanan dan permainan tradisional mereka.

Pendekatan program ini membolehkan ilmu tradisi budaya masyarakat Jawa yang mempunyai keunikan tersendiri ini menjadi ilmu berpanjangan sehingga boleh disampaikan kepada generasi akan datang.

Selain itu, SDG ke 9 juga dapat dicapai melalui program ini yang telah membawa para peserta ke lawatan industri pusat-pusat Industri Kecil Sederhana (IKS) yang terdapat di sana.

Para peserta juga berpeluang melakukan demo menghasilkan produk-produk IKS seperti cakar ayam, bahulu, rempeyek, kerepek tempe dan madu kelulut. Pengalaman yang sukar didapati ini pasti menjadi kenangan manis untuk setiap peserta.

 

Bukan itu sahaja, malah SDG 9 yang menekankan aspek inovasi dalam pembangunan negara juga dapat dilaksanakan melalui aktiviti inovasi yang memberi manfaat kepada penduduk Kampung Parit Bugis.

Inovasi “Night Deflector” merupakan pembaharuan yang dibawa oleh pelajar UTM dan diajar kepada masyarakat di Parit Bugis. Night deflector ini berfungsi sebagai penanda jalan dan diletakkan di kawasan yang gelap untuk memudahkan penduduk di kampung itu memandu pada waktu malam.

 

Persembahan barongan yang merupakan tarian tradisional masyarakat Jawa juga merupakan salah satu tarikan utama program ini. Terserlah keterujaan di wajah masing-masing ketika alunan muzik daripada gong, gendang, bonang dan angklung yang mengiringi tarian barongan ini bergema ke seluruh dewan.

Tambah meriah lagi, ada di antara peserta yang berani mencuba sendiri tarian ini bersama-sama para penari di hadapan.

 

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah aktiviti sukan rakyat yang turut melibatkan komuniti Parit Bugis. Melalui aktiviti ini, hubungan yang erat telah terjalin antara para peserta dan masyarakat di Parit Bugis. Para peserta turut diperkenalkan dengan permainan tradisional yang unik seperti gasing pangkah.

 

Selain itu, para peserta juga dapat menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui program ini yang menyelitkan aktiviti merewang menyediakan juadah tradisional Jawa dan aktiviti gotong-royong mengecat Tabika Kemas Parit No. 4.

Impaknya, aktiviti ini dapat merapatkan jurang antara pelajar universiti dengan komuniti luar bandar yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang sekali gus memberi peluang kepada para peserta untuk bergaul dan beramah mesra dengan masyarakat.

 

Seterusnya, para peserta juga berpeluang merasai sendiri pengalaman makan nasi ambeng dalam dulang sambil makan mengikut budaya Melayu iaitu menggunakan tangan.

Aktiviti ini sudah pasti akan menjadi sebuah pengalaman berharga kepada setiap peserta terutamanya pelajar antarabangsa yang pertama kali merasai juadah tersebut dan mencuba sendiri cara makan masyarakat Melayu.

Pada malam tradisional, para peserta lelaki sangat segak memakai baju Melayu serta bertanjak manakala peserta wanita pula ayu berbaju kurung dan mengenakan kain batik.

 

Majlis penutup berjalan dengan lancar dan turut disertai oleh Penghulu Mukim Sungai Balang,Tn. Hj. Khalim Bin Abdullah, Ketua Kampung Parit Bugis, Tn. Hj. Subaher Bin Hj. Zakaria, Pengerusi Homestay Parit Bugis, Tn. Hj. Saifudin Bin Hj.Mohd Kadak dan dirasmikan oleh Dr Fatin Afiqah Binti Md. Azmi yang juga merupakan wakil dari pihak UTM.

Diharap hubungan yang terjalin antara pihak UTM dan komuniti di Parit Bugis berkekalan dan berpeluang untuk berkolaborasi lagi pada masa akan datang. Seterusnya, semoga pengalaman yang dikutip para peserta sepanjang program ini memberi impak yang memberangsangkan kepada nilai kemasyarakatan dalam diri mereka.

Explore More