April 24, 2024

Search
Close this search box.

PUTRAJAYA, 20 Mac – Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2022 telah menyaksikan Post Graduate Student Society UTM (PGSS) menempa kejayaan dengan memenangi Anugerah Persatuan Pasca Siswazah bagi Kluster Khas Pasukan. Majlis ini merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Nordin.

Pengumuman PGSS UTM sebagai Penerima Anugerah Persatuan Pasca Siswazah

PGSS UTM yang telah diwakili oleh barisan Presiden PGSS Fakulti / Sekolah sesi 2020/2021 iaitu Mohd Shamsul Hj. Hassan dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Chiew Shing Mei dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Muhammad Ramziuddin Zakaria dari Fakulti Sains telah berjaya menewaskan dua finalis lain dari UKM dan UTHM.

Selaku pemenang, mereka telah membawa pulang sebuah trofi, sijil dan wang tunai berjumlah RM4,00.00.

Bagi sesi 2020/2021, PGSS Fakulti/Sekolah/UTM telah berjaya menganjurkan 86 latihan / program sokongan secara dalam talian dengan penyertaan lebih daripada 9,000 orang pelajar dari UTM dan luar UTM.

Program ini termasuklah Research Carnival Week, UTM 3 Minute Thesis, Graduate Research Exhibition, Post Graduate Structured Course, Post Graduate Compulsory Course dan Post Graduate Coffee Session.

Selain dari program akademik, PGSS turut menganjurkan program sukan iaitu Virtual PGSS UTM Fun Run / Cycling.

Kejayaan PGSS UTM merangkul anugerah ini membuktikan bahawa status sebagai pelajar pasca siswazah tidak memberi halangan kepada mereka untuk kekal aktif berpersatuan dan merancang serta menganjurkan pelbagai jenis program sokongan khususnya untuk pelajar sarjana dan kedoktoran.

Dari kiri, Shamsul, Shing Mei dan Ramzi bersama replika hadiah wang tunai, trofi dan sijil yang dimenangi

Namun begitu, terdapat juga cabaran yang perlu ditempuh oleh para finalis dari UTM ini apabila mereka terpaksa menyiapkan bahan-bahan yang diperlukan untuk sesi temu duga dalam tempoh yang suntuk.

Ada di antaranya yang sedang sibuk membuat persiapan untuk Peperiksaan Lisan (VIVA) Doktor Falsafah, ada pula yang sibuk dengan tugasan hakiki sebagai Pengurus Bank dan ada yang sedang menghadapi masalah kesihatan.

Namun, segala cabaran tersebut dapat mereka hadapi dengan baik, malah berjaya menghasilkan infografik dan laporan yang komprehensif serta tampil yakin dalam sesi temu duga.

Sokongan padu yang berterusan daripada Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) juga banyak membantu PGSS untuk kekal bersemangat, komited dan positif dalam melaksanakan tugasan masing-masing.

Selain menyediakan peruntukan kewangan khas bagi penganjuran aktiviti PGSS, SPS turut peka dan sentiasa berusaha menyediakan latihan untuk semua ahli jawatankuasa PGSS bagi memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan dan kompeten.

Diharapkan agar kejayaan ini dapat menarik minat pelajar pasca siswazah yang lain untuk menjadi sebahagian daripada warga jawatankuasa PGSS serta memberi motivasi kepada ahli jawatankuasa PGSS sedia ada untuk terus beriltizam dan menyumbang bakti terutamanya kepada komuniti pascasiswazah selaras dengan motto PGSS iaitu “from students to students”.

Explore More