April 20, 2024

Search
Close this search box.

PERTISAS UTM sokong agenda MASTI perkukuh pembangunan bakat kepimpinan pentadbir Universiti Awam menerusi khidmat komuniti

Oleh Siti Zulfarina Fadzil, Dr. Dina Azleema Mohamed Nor dan Azizul Azman

JELI, 10 Mac – Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) telah menganjurkan Mesyuarat Eksekutif MASTI Kali ke-42 Bil. 1/2023 berserta Program Pengukuhan Bakat Kepimpinan MASTI dan Program Khidmat Komuniti (VCORE) IX pada 7 hingga 9 Mac 2023 di Universiti Malaysia Kelantan.

Seramai 30 orang pemimpin persatuan dari seluruh Universiti Awam Malaysia telah menghadiri program tersebut termasuk tiga orang Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Tadbir dan Ikhtisas (PERTISAS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Presiden PERTISAS, Encik Azizul bin Azman; Setiausaha PERTISAS, Cik Siti Zulfarina binti Fadzli dan Penolong Setiausaha PERTISAS, Dr. Dina Azleema binti Mohamed Nor.

Mesyuarat Eksekutif MASTI yang diadakan tiga bulan sekali ini antara tujuan utama ia diadakan adalah bagi menyatukan semua persatuan pentadbir Universiti Awam serta merancang pengurusan aktiviti secara bersama agar kebersamaan kekal dijalin dan halatuju setiap persatuan ini kekal selari dengan hasrat dan harapan Kementerian Pengajian Tinggi.

Sesi mesyuarat pada kali ini yang diadakan di UMK Kampus Bachok telah disertakan dengan dua program sampingan iaitu Program Pengukuhan Bakat Kepimpinan MASTI dan program khidmat komuniti VCORE IX.

Program Pengukuhan Bakat Kepimpinan MASTI telah diadakan di UMK Kampus Jeli dengan aktiviti berkumpulan dalam bentuk explorace telah disusun dalam memupuk semangat kerjasama dan kepimpinan antara ahli kumpulan.

Beberapa sukan permainan dan aktiviti tradisional telah diubahsuai sebagai acara bagi aktiviti berkenaan, antaranya batu seremban, ting ting, parut kelapa dan sebagainya.

Antara acara yang disusun dalam aktiviti explorace.

Bagi program khidmat komuniti VCORE IX, para peserta program bersama-sama penduduk setempat membersihkan kawasan perkuburan Kampung Kalai, Jeli. Selepas aktiviti pembersihan tanah perkuburan berkenaan, peserta dibawa ke Sungai Kalai untuk aktiviti mendulang emas bersama-sama masyarakat setempat.

Pemilihan Kampung Kalai ini adalah berikutan terdapatnya sejarah lama yang kurang diketahui oleh rakyat Malaysia dan dimaklumkan sejarah lama Kampung Kalai ini lebih diketahui di Negara Thai.

Kampung Kalai yang dahulu adalah merupakan sebahagian daripada Siam telah disempadankan semula oleh pihak penjajah British dan telah termasuk ke dalam sempadan Tanah Melayu.

Terdapat beberapa terowong yang telah ditutup yang digunakan oleh rakyat Thai untuk berulang alik dari Siam ke Tanah Melayu dan sebaliknya.

Menurut Ketua Kampung Kalai, dalam ucapan beliau semasa sesi perasmian penutup program, beliau mewakili penduduk menzahirkan perasaan gembira dengan kehadiran wakil-wakil daripada Universiti Awam dengan harapan agar kunjungan wakil Universiti Awam ini tidak berakhir di sini.

Beliau juga mempunyai harapan agar hubungan lebih lanjut bersama Universiti tempatan dapat dijalin dengan lebih erat dalam membantu penduduk terutama dalam mengembangkan ekonomi sampingan penduduk.

Para peserta bersama penduduk setempat dalam aktiviti pembersihan kawasan perkuburan Kampung Kalai.

 

Taklimat, demo dan aktiviti pendulangan emas.

Para peserta bergambar bersama wakil penduduk kampung selepas program selesai.

Kemuncak kepada program pada kali ini ialah majlis perasmian penutup yang telah disempurnakan oleh Penolong Pegawai Daerah mewakili Pegawai Daerah Jeli, En. Wan Hamdan Syadid bin Wan Ab. Manaf.

Menurut Presiden MASTI, YM Raja Shah Emran, dalam ucapannya semasa majlis perasmian penutup program, program dijalankan bagi mengeratkan ukhwah di antara persatuan-persatuan pentadbir universiti awam Malaysia bagi membolehkan jalinan kerjasama dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pentadbiran dapat dilaksanakan.

Menurut beliau lagi, pembangunan modal insan adalah merupakan aspek terpenting dan ia merupakan aset yang menentukan kejayaan Universiti-universiti Awam akan terus maju pada masa hadapan.

Dalam program yang sama, Presiden PERTISAS, Saudara Azizul bin Azman turut mengambil peluang yang ada untuk membuat perkongsian penanda aras daripada semua persatuan yang terlibat berkaitan amalan terbaik persatuan masing-masing untuk cuba dilaksanakan agar dapat memberikan manfaat kepada pentadbir-pentadbir di UTM.

 

Explore More