Mei 8, 2024

Search
Close this search box.

Naib Canselor UTM terima kunjungan wakil Jabatan Tanah dan Survei Sarawak

JOHOR BAHRU, 19 Feb. – Jalinan kerjasama antara Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dan Jabatan Tanah & Survei (JTS) Sarawak telah membawa kepada majlis kunjungan wakil JTS Sarawak menemui Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kujungan ini dijalankan bersempena dengan sesi penilaian kertas-kertas cadangan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi memperoleh geran pembangunan Negeri Sarawak. Ini adalah merupakan salah satu aktiviti yang dianjurkan oleh Makmal Satelit FABU-JTS bagi tahun ini.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail telah berbesar hati menerima kunjungan wakil dari JTS Sarawak iaitu Tuan Awang Zamhari bin Awang Mahmood, Timbalan Pengarah (Pengurusan) dan Tuan Ramzi bin Abdillah, Penolong Pengarah Survei, JTS Sarawak dengan diiringi oleh Dekan FABU, Prof. Sr Dr. Kherun Nita Ali serta Pengarah Geoinformasi, Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa.

Jalinan kerjasama yang dimaterai antara UTM dan JTS Sarawak ini telah membuahkan hasil menerusi peluang mendapatkan geran penyelidikan Negeri Sarawak kepada penyelidik-penyelidik UTM.

Dilaporkan seramai 20 kumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor dan UTM Kuala Lumpur telah disenaraipendekkan bagi sesi penilaian secara berhadapan dengan wakil JTS Sarawak.

Sesi bergambar semasa kunjungan JTS Sarawak menemui Naib Canselor UTM tersebut telah diabadikan dengan simbol “C” yang mewakili kepada fokus kerajaan Negeri Sarawak kepada pengurusan simpanan “Carbon” di perairan Negeri Sarawak.

Selain fokus utama penawaran Geran Kerajaan Negeri Sarawak kepada pengurusan karbon, pembangunan kertas cadangan juga adalah bertumpu kepada enam (6) fokus utama pembangunan Negeri Sarawak iaitu Geoinformasi & Pentadbiran Tanah (Geoinformation & Land Administration), Tenaga Boleh Baharu (Renewable Energy), Sumber Mineral & Keselamatan Air (Mineral Resources & Water Security), Transformasi Digital & Ekonomi (Digital Transformation & Economy), Bandar Pintar & Pelancongan (Smart City & Tourism) dan Perubahan Iklim (Climate Change).

Secara kesimpulannya, jalinan kerjasama antara JTS Sarawak dan UTM ini telah memberikan kelebihan kepada kedua-dua pihak untuk merangka hala tuju masing-masing. Semoga kerjasama ini akan membuahkan hasil yang memberikan impak tinggi terutama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan negara di masa akan datang.

Explore More