Disember 22, 2024

Kepercayaan organisasi ialah kepercayaan pekerja terhadap tingkah laku organisasi. Ini boleh melibatkan kepercayaan terhadap pihak pengurusan atau ahli pasukan dan  aspek pentadbiran seperti matlamat, visi pengurusan, kepercayaan dan budaya organisasi, kesaksamaan, kepelbagaian dan keterangkuman tempat kerja serta proses beretika dan lain-lain lagi. Tanpa kepercayaan, para pekerja tidak terdorong untuk  berkongsi idea terbaik mereka dan mempunyai ‘sense of belonging‘ terhadap organisasi, dan ini akan menghalang inovasi dan kreativiti serta membantutkan usaha untuk mencapai matlamat organisasi.

Berikut adalah beberapa cara untuk membantu pemimpin membina kepercayaan pekerja mereka dalam sesebuah organisasi.

Bina kepercayaan dengan usaha bersungguh-sungguh

Kepercayaan perlu dibina secara bersungguh-sungguh, konsisten dan berterusan. Ia datang daripada usaha keras dalam memastikan apa yang diperkatakan, apa yang dibuat dan nilai yang dibawa adalah relevan antara satu sama lain. Pemimpin mestilah  menepati janji dan menyelaraskan tingkah laku  dengan tujuan dan nilai mereka.

Sentiasa bersikap telus

Ketelusan membuka ruang untuk komunikasi, kerjasama dan rasa hormat yang penuh kejujuran. Ia boleh membantu menghilangkan keraguan di tempat kerja yang membawa kepada perasaan tidak percaya. Pemimpin yang boleh dipercayai sentiasa mengamalkan komunikasi yang konsisten dan berterusan. Bersikap telus tidak bermakna pemimpin perlu mempunyai semua jawapan sepanjang masa. Pemimpin yang boleh dipercayai tidak takut untuk mengaku bahawa mereka tidak tahu atau tidak pasti tentang sesuatu jawapan.

Sentiasa jujur dan menyokong

Pemimpin mestilah sentiasa jujur dan memberi sokongan kepada pengikutnya. Kadangkala apa yang hendak disampaikan adalah terlalu pahit dan sukar, namun begitu seorang pemimpin yang efektif akan sentiasa jujur dan memberitahu perkara sebenar dengan cara yang terbaik. Pemimpin perlu sentiasa bertimbang rasa terhadap usaha pekerjanya dan sensitif terhadap perasaan mereka. Pemimpin perlu memberi sokongan dan memahami setiap ahli pasukan untuk  membina kepercayaan.

Menjadi pendengar terbaik

Pemimpin perlu mendengar secara berkesan tentang apa yang ingin disampaikan oleh pekerjanya. Mereka memastikan semua orang mempunyai peluang untuk bersuara dan didengari. Mereka mesti melibatkan diri dalam perbincangan atau dialog bersama pekerja, sesi soal jawab dan meluahkan perasaan atau kebimbangan pekerjanya. Usaha ini akan meningkatkan kepercayaan orang bawahan terhadap pemimpin.

Menjadi suri teladan

Pemimpin yang dipercayai sentiasa menjadi suri teladan dalam sesebuah organisasi. Tingkah laku pemimpin mempengaruhi pemikiran, tingkah laku dan tindakan pekerja. Sekiranya pemimpin mengatakan kerja berpasukan adalah penting, maka mereka mestilah menyokong kepada usaha bekerjasama merentas pasukan dan fungsi serta memberi penghargaan kepada mana-mana pekerja  yang menyahut budaya kerja berpasukan tersebut. Dengan usaha sebegini, pemimpin dilihat sebagai ‘walk the talk’ dan ini akan meningkatkan kepercayaan orang bawahan terhadap pemimpin tersebut.

Mempunyai akauntabiliti

Pemimpin yang dipercayai mempunyai akauntabiliti yang tinggi. Mereka tidak malu untuk mengakui kesilapan yang dibuat dan tidak menyalahkan orang lain atas kegagalan operasi atau sesuatu tugasan. Mereka menggalakkan dialog yang jujur ​​dan memupuk akauntabiliti dengan membina proses yang menjadi sebahagian daripada budaya organisasi, seperti menjalankan penilaian setiap projek, membuat laporan status dan langkah penambahbaikan yang perlu dibuat.

Mempunyai empati yang tinggi

Pemimpin yang memahami situasi orang lain dan mempunyai empati yang tinggi adalah pemimpin yang mempunyai kepercayaan yang tinggi dalam kalangan orang bawahannya. Pemimpin yang dipercayai sentiasa mendengar tentang permasalahan pekerjanya, memotivasi, menginspirasi dan mencari jalan untuk membantu mereka.

Mendapatkan maklum balas dan mengambil tindakan

Pemimpin yang dipercayai selalu mendengar dan mendapatkan maklum balas daripada orang bawahannya. Daripada maklum balas yang diterima, pemimpin akan meneliti dan mengambil tindakan yang sesuai ke atas maklum balas yang rasional, relevan dan memberi manfaat kepada organisasi. Mereka juga sentiasa menghargai maklum balas yang diberikan dan akan menjelaskan sebab bagi sesuatu tindakan yang diambil atau tidak diambil.

Memberi penghargaan

Pemimpin yang dipercayai kerap memberi penghargaan kepada pekerjanya. Ucapan terima kasih telah menjadi satu budaya dalam organisasi. Selain itu penghargaan dalam bentuk sijil, imbuhan, hadiah, bonus atau kenaikan pangkat juga diberikan kepada pekerja yang telah menunjukkan kecemerlangan. Pemilihan pekerja yang layak untuk mendapat pengiktirafan dilakukan dengan secara adil dan saksama. Usaha pemimpin sebegini yang dilakukan secara konsisten dan berterusan ini akan mewujudkan hubungan yang kukuh, rasa dihargai, rasa hormat dan kepercayaan bersama.

Sentiasa konsisten

Pemimpin yang melakukan perkara yang diperkatakan atau yang dijanjikan secara konsisten akan membina kepercayaan dari semasa ke semasa. Setiap usaha yang baik tidak boleh dilakukan sekali sekala tetapi perlulah berterusan. Pemimpin yang dipercayai menjaga tingkah laku dan komitmen hari demi hari dan tahun demi tahun.

Kepercayaan adalah penting untuk membina budaya yang sihat dan merupakan asas kepada semua hubungan yang akrab. Ia membantu pekerja membina hubungan dengan pemimpin dan rakan sekerja dan juga mempengaruhi persepsi terhadap organisasi. Oleh itu, pemimpin perlu memainkan peranan mereka untuk meningkatkan kepercayaan pekerja terhadap kepimpinannya dan organisasi yang dipimpin.

Explore More