April 26, 2024

Search
Close this search box.

Makmal Satelit FABU UTM – JTS Sarawak Anjur Sesi Penilaian Cadangan Geran Pembangunan Negeri Sarawak

JOHOR BAHRU, 20 Feb. – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dan Jabatan Tanah & Survei (JTS) Sarawak telah menganjurkan satu sesi penilaian kertas-kertas cadangan bagi penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sempena penawaran geran pembangunan Negeri Sarawak. Ini telah dilaksanakan sebagai salah satu aktiviti Makmal Satelit FABU-JTS bagi tahun ini.

Sesi penilaian kertas cadangan ini telah diadakan di Makmal Inovasi Geomatik (GnG), FABU melibatkan 20 kumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor dan UTM Kuala Lumpur. Pembangunan kertas cadangan tersebut adalah bertumpu kepada enam (6) fokus utama pembangunan Negeri Sarawak iaitu Geoinformasi & Pentadbiran Tanah (Geoinformation & Land Administration), Tenaga Boleh Baharu (Renewable Energy), Sumber Mineral & Keselamatan Air (Mineral Resources & Water Security), Transformasi Digital & Ekonomi (Digital Transformation & Economy), Bandar Pintar & Pelancongan (Smart City & Tourism) dan Perubahan Iklim (Climate Change).

Penilaian telah dijalankan oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei Sarawak dan wakil pegawai yang terlibat adalah Tuan Awang Zamhari bin Awang Mahmood, Timbalan Pengarah (Pengurusan) dan Tuan Ramzi bin Abdillah, Penolong Pengarah Survei, JTS Sarawak bersama-sama dengan wakil pihak Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), UTM iaitu Puan Sapiah Sulaiman dan Puan Farahnatasha Zainuddin yang telah bekerjasama dalam tempoh dua (2) hari mendengarkan pembentangan dari kesemua penyelidik yang telah disenarai pendek.

Setiap penyelidik diberikan masa selama 30 minit bagi membentangkan berkenaan latar belakang kajian, objektif dan sumbangan yang akan dimanfaatkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak kelak sekiranya projek tersebut dipilih.

Secara kesimpulannya, tawaran penajaan geran Kursi Sarawak ini merupakan satu lagi jalinan hubungan kerjasama yang baik antara UTM dan Kerajaan Negeri Sarawak yang di bawah MoU Makmal Satelit FABU-JTS. Diharapkan dengan adanya beberapa cadangan penyelidik UTM yang akan menerima geran penyelidikan kelak akan mencipta inovasi-inovasi baharu dalam memberi penyelesaian kepada isu-isu yang diketengahkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

Explore More