April 20, 2024

Search
Close this search box.

Lawatan Jabatan Pendaftar ke USM dan UUM kenal pasti amalan terbaik pengurusan akademik dan konvokesyen

GELUGOR, 7 Feb. – Seramai 20 orang staf dari pelbagai unit di bawah Jabatan Pendaftar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), En. Mohd Zaires bin Md Daris telah menyertai Lawatan Penanda Aras Amalan Terbaik Pengurusan Akademik dan Konvokesyen ke dua buah universiti awam, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM). 

Lawatan ini bertujuan untuk mengenal pasti amalan terbaik Pengurusan Akademik dan Pengurusan Majlis Konvokesyen USM dan UUM dalam usaha pihak BPA menambah baik proses kerja di UTM termasuk pengurusan sijil dan transkrip graduan, pengurusan majlis konvokesyen dan stor jubah selain melihat struktur organisasi pengurusan akademik.

Destinasi pertama lawatan adalah di USM dan delegasi UTM disambut mesra oleh Timbalan Pendaftar Kanan BPA USM, Tuan Haji Ramli Osman. Beliau secara langsung telah mengetuai sesi perbincangan dua hala antara USM dengan UTM.

Antara inti pati utama perbincangan tersebut, pihak USM telah mengambil inisiatif awal melalui pembangunan sistem Block Chain di USM bagi tujuan pengesahan graduan untuk menyahut agenda pendigitalan yang telah digariskan oleh kerajaan selepas fasa pandemik. Pada sebelah petang pula, delegasi UTM telah dibawa melawat persekitaran Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) serta Bilik Jubah Konvokesyen USM.

Delegasi UTM meneruskan kembara penanda aras ke UUM pada keesokan harinya. Bermula dengan taklimat ringkas sejarah penubuhan UUM di Anjung Tamu, pihak UUM yang diketuai oleh Encik Abd. Rahman Mohd Isa, Ketua Unit Pengajian Pascasiswazah UUM telah mengiringi delegasi UTM ke Dewan Muadzam Shah dan Dewan Tan Sri Othman bagi melihat sistem pengurusan stor pakaian dan jubah konvokesyen UUM.

Menerusi lawatan penanda aras ini pihak BPA UTM telah memperoleh pelbagai inspirasi dalam rekabentuk pelan lantai  dalam menambah baik operasi kerja stor pakaian dan jubah baharu yang dijangka akan diimplementasi sepenuhnya sebelum majlis konvokesyen yang akan datang.

Explore More