April 26, 2024

Search
Close this search box.

Kunjungan Naib Canselor UTM di Makassar Perkukuh Jaringan Alumni Peringkat ASEAN

UJUNG PADANG, 1 Mac – Seramai lebih 45 alumni UTM diraikan di Makassar, Indonesia dalam satu majlis ringkas di sebuah hotel di Ujung Padang, Makassar yang turut dihadiri oleh Naib Canselor UTM.

Program libat sama yang julung kali diadakan di bumi Makassar ini mencipta sejarah sekali gus menjadi lokasi terbaru penubuhan Global Alumni Chapter.

Menurut Dr. Ts. Rahimmudin, wakil Alumni di Makassar, “Kehadiran Naib Canselor UTM membuat saya teruja untuk mengajak rakan-rakan alumni yang lain untuk datang bersama-sama”.

Indonesia merupakan antara negara yang mempunyai bilangan Alumni UTM yang ramai iaitu seramai lebih 1,200 orang dan merupakan rakan strategik UTM dalam membina jaringan antarabangsa yang meluas, sesuai dengan ciri geografi negara ini yang besar serta mempunyai banyak universiti.

Semasa program terbabit, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail menyampaikan mesej penting buat Alumni UTM agar rumpun Asean sentiasa yakin dengan keupayaan diri untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Jaringan Alumni amat penting buat UTM dalam meneruskan lagi kecemerlangan di peringkat antarabangsa. Pelbagai inisiatif perlu dipergiat oleh UTM dengan kolaborasi bersama Alumni UTM yang mempunyai pelbagai latarbelakang yang amat membanggakan,” kata Prof. Datuk Ahmad Fauzi.

Program ini juga turut melakarkan sejarah tersendiri dengan pelancaran UTM Global Alumni sub-Chapter Makassar yang merupakan subchapter keenam di bawah Global Chapter Indonesia.

Program ini turut diserikan lagi dengan persembahan khas Tarian Tradisional Masyarakat Makassar oleh pelajar Sekolah Menengah Atas yang telah disediakan khas oleh Alumni-Alumni UTM Makassar dalam meraikan delegasi UTM.

Explore More