Oleh: Aisyah Adibah, Intan Syahfina, Mohammad Aizim
SETAPAK, 15 Jan. – Kolej Siswa Jaya (KSJ) Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) sekali lagi telah menganjurkan Festival Terbuka Kolej 2023 (FIESTA ‘23) yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Kuala Lumpur (MPPKL) dan Persatuan ALUMNI UTM bagi menjalinkan dan merapatkan hubungan antara semua warga Kolej Siswa Jaya dan komuniti setempat.
Program FIESTA ‘23 ini juga turut berkolaborasi bersama program Malaysian Traditional Culture (MTC) yang dikendalikan oleh JKM Luar Kampus.
Tujuan utama festival ini dilaksanakan adalah untuk menyediakan platform kepada pelajar dan komuniti setempat untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan, kerja berpasukan dan semangat kepimpinan.
Selain itu, festival ini juga bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang ceria dan menyeronokkan bagi semua peserta di samping meningkatkan kemahiran bersosial serta komunikasi para pelajar.
Di dalam program ini, terdapat banyak aktiviti yang telah dijalankan seperti Program Derma Darah, pembukaan gerai-gerai makanan dan pakaian, pertunjukan hiburan seperti persembahan nyanyian, movie mini, jualan amal, rumah hantu, cabutan bertuah, rawatan kesihatan, permainan padang serta permainan mini.
Antara semua aktiviti tersebut, rumah hantu adalah yang paling meriah di mana ramai pelajar dan juga orang luar yang mengunjungi sekaligus menjadi tarikan utama Festival Terbuka Kolej bagi tahun ini.
Disamping itu, MTC turut menyediakan beberapa aktiviti yang menarik seperti pertandingan baling selipar, pertandingan menghias makanan tradisional dan pertandingan mereka corak batik.
Program berakhir dengan ucapan perasmian penutupan oleh Pro Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Abd Latif Bin Saleh, dan juga Pengarah Hal Ehwal Pelajar UTM Kuala Lumpur, Prof. Ir. Ts. Dr. Aminudin Bin Hj Abu.
Acara penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan MTC dan permainan padang turut disampaikan pada majlis penutup ini sebelum diakhiri dengan persembahan dari artis jemputan, Kucaimars.
Di dalam ucapannya, Pro Naib Canselor turut menzahirkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada semua urusetia FIESTA ‘23 yang telah bertungkus lumus menjayakan program ini.
Beliau turut berharap agar program ini dapat diteruskan sebagai program tahunan agar dapat memantapkan lagi kemahiran kepimpinan, komunikasi sesama jawatankuasa, dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar-pelajar pada masa yang akan datang.