April 19, 2024

Search
Close this search box.

Kepakaran Fakulti Komputeran UTM ditagih bantu pembangunan Teknologi Blockchain Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 27 Feb. – Satu seminar Technology Update: Blockchain anjuran ICT@Johor telah berlangsung di Grand Florius Ballroom, Opera Hotel Southkey, Johor Bahru. Seminar ini dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada Pegawai Skim F (Sistem Maklumat) Kerajaan Negeri Johor mengenai teknologi Blockchain serta pelaksanaan dan penggunaannya dalam sektor awam.

Seramai 150 Pegawai Skim F (Sistem Maklumat) Kerajaan Negeri Johor telah menyertai seminar tersebut dan mendapat maklum balas yang sangat baik dari peserta. Pensyarah dari Fakulti Komputeran, Ts. Dr. Nur Haliza Binti Abdul Wahab telah dijemput untuk menyertai dan memberi ceramah mengenai pengenalan kepada teknologi Blockchain. Beliau menekankan tentang pentingnya kesedaran tentang teknologi Blockchain kepada semua masyarakat, khususnya di bahagian tonggak-tonggak atasan supaya teknologi Blockchain ini dapat diterima semua dan digunapakai secara menyeluruh.

Ts. Dr. Nur Haliza Binti Abdul Wahab dalam ceramahnya turut memaklumkan tentang perkara yang sering menjadi salah faham dalam masyarakat terhadap teknologi Blockchain bila mana ia sering dikaitkan dengan unsur negatif Bitcoin. Perkara itu perlu di buang dari minda masyarakat kerana Blockchain bukanlah Bitcoin dan ia memberi banyak kebaikan berbanding dengan salah faham masyarakat tentang teknologi Blockchain.

Setiausaha Bahagian ICT@Johor, YM Ungku Suzana Binti Ungku Mohammad telah merasmikan Seminar tersebut dan beliau amat mengharapkan Johor bakal mencapai matlamat sebagaimana yang digariskan oleh Kerajaan Malaysia untuk menggunakan teknologi Blockchain dalam sektor kerajaan menjelang 2025.

Turut sama menjayakan seminar ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perundingan ICT, MAMPU, Ts. Dr. Mohamed Hairul Bin Othman yang memberi ceramah bertajuk “Pelaksanaan Teknologi Blockchain Dalam Sektor Awam”. Dalam ceramah beliau menekankan konsep dan garis panduan terkini Kerajaan dalam mengunapakai teknologi Blockchain dalam sektor awam. Beberapa sistem yang telah dan sedang dibangunkan oleh Kerajaan mahupun sektor separa kerajaan telah di kongsikan bagi menambah pengetahuan peserta tentang kebaikan teknologi Blockchain.

Sejajar dengan rancangan Malaysia 2025, ICT@Johor menyahut seruan Kerajaan dan berusaha untuk menggunapakai Teknologi Blockchain dalam sektor awam. Oleh itu, satu perbincangan yang di sertai oleh wakil dari ICT@Johor, Jabatan Perdana Menteri Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Akademi Pegawai Tadbir Negeri Johor (Akademi JCS) dan Fakulti Komputeran (FK) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diadakan sejurus selepas seminar berkenaan.

Dr. Siti Hajar Binti Othman, selaku wakil Fakulti Komputeran UTM membentangkan initiatif FC terhadap teknologi Blockchain di UTM. Dalam pembentangan tersebut, beliau turut berkongsi rancangan untuk mewujudkan Blockchain Lab di FC yang bakal menjadi tempat untuk menjayakan initiatif Blockchain FC.

Turut hadir, Prof. Ts. Dr. Md Asri, Ts. Dr. Nur Haliza Abdul Wahab, Dr. Syed Hamid Hussain Madni, dan Dr. Mohd Fo’ad Rohani yang sempat berkongsi pendapat dan membincangkan hala tuju kolaborasi bersama-sama sektor kerajaan Johor khususnya dalam menjayakan rancangan hala tuju Blockchain di Johor.

Mesyuarat dan perbincangan diakhiri dengan kata sepakat dan persetujuan semua untuk mengadakan bengkel secepat mungkin bagi memenuhi objektif rancangan penggunaan teknologi Blockchain di Johor.

 

 

 

 

Explore More