April 23, 2024

Search
Close this search box.

KENYATAAN MEDIA: PEMBUKAAN STESEN MRT RAJA UDA-UTM PERKASA KETERLIHATAN UNIVERSITI

KUALA LUMPUR, 16 Mac. − UTM telah melakarkan sejarah terbaharu dalam inisiatif memperkasakan keterlihatan Universiti selaras dengan aspirasi Pelan Strategik enVision UTM 2025 menerusi kerjasama strategik bersama pihak MRT Corporation Sdn. Bhd.

Jalinan kerjasama ini diterjemahkan melalui penamaan salah sebuah stesen bagi Laluan Putrajaya, iaitu MRT Raja Uda-UTM, yang berada pada laluan kedua rangkaian MRT Lembah Klang. Dengan kerjasama ini, aspek pemerkasaan jenama UTM dapat dikedepankan melalui pengumuman “Raja Uda-UTM” lebih daripada 700,000 kali setiap tahun bagi setiap tren, selain paparan di 36 buah stesen di sepanjang laluan berkenaan.

Pemilihan stesen MRT Raja Uda-UTM bukan sahaja disebabkan jaraknya yang terletak hanya 1.3 km dari UTM Kuala Lumpur, sebaliknya nilai keterlihatan Universiti yang dihasratkan dapat direalisasikan lantaran lokasinya yang menjadi tumpuan utama masyarakat umum.

 

Peta Lokasi MRT Raja Uda – UTM

MRT Corp sememangnya terkenal sebagai pembangun infrastruktur rel bandar, manakala UTM pula merupakan antara Universiti terkemuka yang turut dikenali sebagai pengeluar bakat dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan oleh industri dan perkhidmatan awam.

Justeru, gandingan penjenamaan MRT Corp. dan UTM dilihat sebagai suatu gabungan strategik yang turut menyokong salah satu nilai teras universiti dalam konteks “kelestarian” serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Melaluinya, hasrat UTM untuk menggalakkan gaya hidup rendah karbon diharap dapat disampaikan kepada umum di samping mempertingkatkan lagi penggunaan pengangkutan awam terutamanya kepada masyarakat bandar.

Selain menyokong gagasan kelestarian, Universiti berhasrat menjadikan stesen MRT Raja Uda-UTM sebagai suatu platform penganjuran acara rasmi UTM di samping mempromosikan pelbagai perkhidmatan dan program yang ditawarkan oleh UTM.

Untuk makluman, Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah menyempurnakan perasmian MRT Laluan Putrajaya hari ini dan secara rasminya stesen MRT Raja Uda-UTM telah dibuka untuk penggunaan umum bermula jam 3 petang.

Sekian, terima kasih.

 

Disediakan oleh,

Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat | Universiti Teknologi Malaysia16 Mac 2023

 

 

Explore More