April 20, 2024

Search
Close this search box.

Kem Pembentukan JKM KRP Medan Perkasa Pemimpin Pelajar Berjiwa Kental

JOHOR BAHRU, 26 Feb. – Kem Pembentukan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Rahman Putra (JKM KRP) bagi sesi 2023/2024 telah dianjurkan oleh Majlis Felo KRP. Kem Pembentukan ini telah diadakan bertempat di Teluk Gorek Chalet & Camp Site, Mersing, Johor pada 23 Februari hingga 25 Februari dan diteruskan di Bilik Seminar, Kolej Rahman Putra, UTM pada 26 Februari 2023.

JKM KRP bekerjasama dalam mendirikan khemah mereka di tapak yang disediakan.

Kem pembentukan kali ini bertemakan ‘Pemimpin itu berjiwa kental, satu KRP satu mental’ demi mengukuhkan perpaduan dan kerjasama antara JKM KRP dan Majlis Felo KRP. Barisan JKM bagi sesi 2023/2024 telah dipilih melalui sesi temu duga yang dijalankan pada 15 Januari 2023 dan seramai 28 orang ahli JKM baharu telah berjaya terpilih sebagai barisan kepimpinan JKM KRP sesi 2023/2024.

Aktiviti pertama iaitu pembahagian ahli kumpulan.

Selaras dengan matlamat program, melalui kem pembentukan ini dapat memberi peluang kepada JKM KRP dalam meningkatkan kemahiran insaniah kepimpinan dan jati diri. Objektif kem pembentukan ini adalah untuk memupuk semangat kerjasama dan kepimpinan dalam kalangan ahli JKM KRP.

Di samping itu, untuk membentuk etika kerja yang baik antara JKM KRP dan pihak pengurusan kolej serta menjalinkan hubungan akrab antara Majlis Felo juga merupakan salah satu objektif kem pembentukan ini.

JKM KRP bekerjasama melakukan aktiviti Menara Impian.

Pelbagai aktiviti serta bengkel telah dilaksanakan dalam membentuk pemimpin yang berwibawa serta bertanggungjawab. Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan seorang fasilitator yang merupakan Majlis Felo KRP bagi setiap kumpulan.

Majlis Felo KRP tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti ‘Tali Bintang’ bersama JKM KRP.

Hampir setiap aktiviti yang dilakukan dalam kumpulan memerlukan penjanaan idea bersama dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sikap saling bekerjasama antara satu sama lain. Setiap ahli JKM sangat memberikan komitmen serta produktif terhadap setiap aktiviti yang dijalankan.

Permainan Dodgeball antara JKM KRP dan Pembantu Felo KRP di tepi pantai.

Setelah selesai di Teluk Gorek, kem pembentukan ini diteruskan pula di UTM dengan modul yang disediakan seperti Modul JKM KRP 2023, Modul Kelestarian dan Modul Keusahawanan. Manakala bagi Modul Kertas Kerja disampaikan oleh Pegawai Tadbir Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Encik Ahmad Najahalhayyi bin Zulkifli.

Sesi bergambar antara Majlis Felo KRP bersama Pengetua KRP, Prof. Madya Dr. Mohd Haizal Bin Jamaludin serta JKM KRP di Teluk Gorek.

Modul Kertas Kerja ini memberikan pendedahan akan prosedur pengurusan kertas kerja mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). Menerusi modul-modul yang telah dijalankan akan memberikan panduan dalam penghasilan kertas kerja yang berkualiti, meningkatkan kemahiran komunikasi, menerima kritikan serta membentuk idea yang lebih bernas bagi program-program yang dianjurkan di KRP pada masa akan datang.

Modul Kertas Kerja yang disampaikan oleh Encik Ahmad Najahalhayyi bin Zulkifli.

Sebelum melabuhkan tirai kem pembentukan ini, acara yang dinantikan iaitu pengumuman Majlis Tertinggi JKM KRP bagi sesi 2023/2024 serta acara penyampaian hadiah telah dijalankan pada hari terakhir kem. Penganjuran kem pembentukan ini telah dijalankan dengan jayanya serta mencapai matlamat.

Kelihatan segak dan bergaya Majlis Felo KRP bersama ahli JKM KRP 2023/2024 bergambar di Dewan Merdeka, KRP.

Oleh itu, diharapkan kem pembentukan ini dapat membentuk sebuah organisasi kepimpinan JKM KRP yang berwibawa, berpengetahuan serta memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada seluruh warga KRP.

Explore More