Mei 9, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Mac – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM Johor Bahru muncul sebagai penerima Anugerah Gerakan Pengguna Siswa Terbaik Negeri Johor bagi tahun 2022 setelah meninggalkan beberapa pencabar lain yang terdiri daripada Gerakan Pengguna Siswa daripada Institut Pengajian Tinggi di negeri ini.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, YB Tuan Lee Ting Han bersempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Pusat Membeli-Belah Toppen Johor Bahru.

Kelab GPS UTM Johor Bahru yang diwakili oleh Penasihat Kelab, Encik Mohammad Hasyiq bin Haji Hamdan telah menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan Wang Tunai bernilai RM500 semasa sesi penyampaian anugerah tersebut.

Dengan bilangan ahli seramai 150 orang, Kelab GPS UTM Johor Bahru telah melaksanakan 16 program yang merangkumi 2 program peringkat kebangsaan, 4 program peringkat negeri dan 10 program peringkat Institusi/daerah. Selain itu, Kelab GPS UTM Johor Bahru bergerak aktif menyertai program-program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di semua peringkat.

Menurut Penasihat Kelab GPS UTM Johor Bahru, Encik Mohammad Hasyiq bin Hamdan “Kejayaan yang dicapai oleh Kelab GPS UTM Johor Bahru ini merupakan hasil sokongan dan dokongan yang erat oleh pihak Universiti dan pihak KPDN Negeri Johor yang banyak memberikan pandangan, idea, cadangan dan tidak ketinggalan sumber peruntukan kewangan bagi membantu kami melaksanakan program-program yang telah dirancang pada setiap tahun.

Selain itu, Saudari Insyirah binti Ash’ari selaku Presiden Kelab GPS UTM Johor Bahru menjelaskan “Semangat berpasukan di kalangan Barisan Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan sokongan padu ahli turut menjadi resepi kejayaan ini”.

Kelab Gerakan Pengguna Siswa UTM Johor Bahru juga tersenarai sebagai Finalis Anugerah Penggerak Kepenggunaan (Kategori Gerakan Pengguna Siswa) Peringkat Kebangsaan 2022 sempena Sambutan Hari Pengguna Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang akan diadakan pada pertengahan Mei di Kuantan, Pahang.

Explore More