Disember 22, 2024

KASIH WANITA: Memperkasa peranan wanita membangun bangsa dan negara

Oleh Nur’Aina Osman

“Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia”. Peribahasa ini sering kali dikaitkan dengan keupayaan wanita mengharungi cabaran di sekelilingnya sehingga ada ketikanya mampu mengubah senario dunia.

Meskipun peranan wanita ini secara tradisinya digambarkan sebagai ibu, yang mengasuh dan mendidik anak serta menjaga kebajikan keluarga sehari-hari. Namun, peranan wanita kini tidak lagi terbatas dengan tanggapan lama seperti ini kerana wanita semakin agresif menyertai kerancakan membangun masyarakat dan insan secara terbuka.

Buktinya, Tun Fatimah Hashim, Tan Sri Aishah Ghani, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Michelle Yoh, Datuk Nicol Ann David merupakan antara tokoh wanita yang mengungguli pelbagai bidang di Malaysia. Dalam konteks kebitaraan wanita dalam bidang pendidikan di Malaysia pula nama Ibu Zain (Zainon Munshi Sulaiman) sering dikaitkan dengan semangat dan perjuangannya dalam meningkatkan taraf pendidikan anak bangsa dan golongan ini khususnya.

Beliau jugalah yang mencadangkan perayaan Hari Wanita agar diraikan pada 25 Ogos setiap tahun (PERTIWI, 2004). Justeru, jelas di sini peranan wanita dalam membangun bangsa dan negara relevan untuk diiktiraf dan diraikan ditambah dengan perayaan semacam ini juga turut digerakkan di seluruh dunia. Cuma, bezanya Hari Wanita disambut di peringkat antarabangsa pada 8 Mac, iaitu hari ini, pada setiap tahun.

Malaysia khususnya di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah memilih “KASIH Wanita” sebagai tema sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada kali ini. Perkataan ’KASIH’ merupakan akronim K – Kasih sayang, A – Akhlak mulia, S – Sihat, I – Ilmu, dan H – Harmoni. Ini menjadi suatu menifesto untuk menghargai wanita yang sentiasa mencurahkan kasih sayang, mengekalkan akhlak mulia, memastikan diri dan keluarga sihat, sentiasa mempertingkatkan ilmu dan memelihara keharmonian sekeliling.

Nor Azizah Ismail, Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), ketika ditemui wartawan turut berkongsi pendapatnya sendiri tentang sambutan Hari Wanita. Beliau melihat sambutan seperti ini penting sebagai suatu wadah meraikan perjuangan wanita dalam menjalankan peranannya di samping menjadi peniup semangat untuk golongan ini melangkah mengharungi cabaran dan perjuangan kehidupan.

”Sambutan Hari Wanita merupakan acara penting sebagai menghargai peranan wanita dalam kehidupan. Wanita itu unik sifatnya, diciptakan sebagai makhluk istimewa. Dikuatkan bahunya untuk menjaga anak-anaknya, dilembutkan hatinya untuk memberi rasa aman, dikuatkan rahimnya untuk bayinya dan diperteguhkan peribadinya untuk terus berjuang. Besarnya peranan dan pengorbanan wanita dalam mewarnai kehidupan.”

Nor Azizah ketika menyampaikan amanat sewaktu Majlis Amanat Pendaftar 2023 baru-baru ini.

Posisi beliau dalam kepimpinan kanan Universiti juga adalah suatu contoh yang wajar dipandang tinggi kerana amanah yang dipikul bukanlah suatu tugas yang mudah. Bagi menjalankan tugas dengan berkesan, pasti memerlukan ilmu dan pengetahuan yang tinggi dan meluas. Justeru, penguasaan wanita dalam sesuatu ilmu dan kepakaran haruslah dipertingkat demi membolehkannya menyumbang dengan lebih baik dan efektif.

Beliau berkata, “Wanita pada hari ini perlu menguasai bidang ilmu untuk sama-sama menyumbang kepada negara, bangsa dan agama dan kepentingan sejagat. Ilmu membina tamadun bangsa. Ilmu memartabatkan wanita untuk setanding dalam penerokaan ilmu baharu melalui pelbagai pendekatan yang lebih dinamik.”

Pada abad ke-21 ini, wanita dilihat lebih ke hadapan meneroka ruang ilmu bukan sahaja untuk menambah pengetahuan dan meningkatkan nilai diri untuk bersaing dalam dunia pekerjaan yang kian sengit. Walaupun sebelum ini, kita sering mendengar tentang ’gender bias’ dalam sesetengah bidang pekerjaan. Namun, kini dunia kian lebih terbuka menerima tenaga kepakaran daripada golongan wanita yang mana telah pun dimulakan dengan pembukaan lebih banyak peluang pendidikan terutamanya pendidikan tinggi bagi golongan wanita.

Menurut Nor Azizah, “UTM telah menambah ratio dalam pengambilan pelajar wanita program kejuruteraan khususnya berikutan calon wanita yang cemerlang yang begitu ramai. Malah pengambilan pensyarah dan staf pengurusan dan profesional juga telah ditambah baik ratio wanita dan lelaki.”

“Ini adalah selari dengan bilangan wanita dengan pendidikan tinggi yang semakin meningkat dan hasil kerja mereka tidak dapat dinafikan dari segi pencapaian mereka. Kepimpinan bagi jawatan utama Universiti jika sebelum ini banyak dimonopoli oleh kaum lelaki juga telah berubah pendekatannya,” katanya lagi.

Dalam hal ini, UTM juga tidak mengamalkan ’gender bias’ dalam memilih pengurusan jawatan di UTM. Sehingga kini 32 peratus ahli senat UTM adalah wanita.

Situasi ini menunjukkan UTM tidak mengamalkan sikap diskriminasi dalam proses pengambilan tenaga kerja, sebaliknya pemilihan yang dibuat adalah berdasarkan merit iaitu  kemahiran dan kelayakan yang sewajarnya bagi satu-satu jawatan. Ini jelas membuktikan bahawa peluang buat wanita untuk sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan bangsa dan negara sentiasa terbuka luas.

Namun, dalam pada wanita bersemangat tinggi untuk berjuang mengangkat martabatnya, wanita haruslah sentiasa mengekalkan kelembutan dan kesantunan dalam setiap perilakunya. Kejayaan yang ditempa masih lagi diukur bersama maruah dan jati diri mereka sebagai wanita.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua wanita walau setinggi mana anda, tanggungjawab kepada suami, anak anak dan keluarga jangan ditinggalkan. Letakkanlah diri anda pada tempat sewajarnya pabila bertindak dan berkata-kata. Ingatlah walau setinggi mana kedudukan anda semua anda tetap wanita yang membawa kebaikan kepada semua,” tambah beliau mengakhiri bicara.

 

*Sumber: Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (PERTIWI). 2004. Biografi tokoh wanita Malaysia. Petaling Jaya: Pelanduk Publications

Explore More