November 26, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal

PUTRAJAYA, 20 Mac – Anugerah Tokoh Siswa (ATS) merupakan anugerah berprestij yang mengiktiraf pencapaian mahasiswa dalam ketokohan berorganisasi serta penganjuran program-program yang berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Secara tidak langsung, ATS merupakan platform terbaik dalam mengiktiraf dan memberi galakan kepada kepimpinan mahasiswa yang telah menunjukkan kecemerlangan kepimpinan yang holistik dan kompeten selari dengan Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Dalam Majlis ATS 2022 yang telah diadakan di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menggondol lima anugerah menerusi dua kategori individu dan tiga kategori berpasukan.

Kategori individu memperlihatkan kecemerlangan Hew Huai Ming dari Fakulti Sains yang memperoleh Anugerah Kepimpinan Sukarelawan Alam Sekitar, manakala Belal Yahya Hussein Al-Tam dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik memperoleh Anugerah Khas Kepimpinan Pelajar Antarabangsa.

Penerima Anugerah Kepimpinan Sukarelawan Alam Sekitar, Hew Huai Ming. Sumber imej – FB UTM Student Affairs.
Penerima Anugerah Khas Kepimpinan Pelajar Antarabangsa, Belal Yahya Hussein Al-Tam. Sumber imej – FB UTM Student Affairs.

Sementara itu, kategori berpasukan pula menampilkan kecemerlangan Postgraduate Student Society UTM (PGSSUTM) yang berjaya meraih Anugerah Persatuan Pasca Siswazah, hasil daripada kepimpinan kompeten yang ditunjukkan oleh Chiew Shing Mei (Fakulti Kejuruteraan Awam), Muhammad Ramziuddin Zakaria (Fakulti Sains) dan Mohd Shamsul Hassan (Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim).

Penerima Anugerah Persatuan Pasca Siswazah, Postgraduate Student Society UTM (PGSSUTM). Sumber imej – FB UTM Student Affairs.

Nama UTM terus harum apabila Team Psyduck UTM (Tempat Ketiga dalam ASEAN Data Science Explorers Regional Final 2020) dan ROBOCON-UTM B (Juara ABU Asia-Pacific Robot Contest 2022) diiktiraf untuk menerima Anugerah Penghargaan Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi.

Penerima Anugerah Penghargaan Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Team Psyduck UTM. Sumber imej – FB UTM Student Affairs.
Penerima Anugerah Penghargaan Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, ROBOCON-UTM B. Sumber imej – FB UTM Student Affairs.

Dua mahasiswa UTM turut tersenarai sebagai finalis, iaitu Muhammad Adhar Zorobi (Anugerah Kepimpinan Pengucapan Awam) dan Nur Syahirah Athirah Aizam (Anugerah Kepimpinan Keusahawanan).

Anugerah telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal; Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Pengurusan Tertinggi KPT dan para finalis anugerah.

Explore More