JOHOR BAHRU, 16 Feb. – Sejajar dengan perutusan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Khaled Nordin baru-baru ini dalam usaha pelaksanaan Menu Rahmah ke seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT), beberapa pengusaha kafe yang beroperasi di arked Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mula mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Menu Rahmah bermula pada 12 Februari lalu. Pelaksanaan Menu Rahmah ini adalah bertujuan bagi membantu mahasiswa terutamanya golongan B40 dalam mendapatkan makanan tengah hari dan malam dengan harga yang berpatutan.
Kafe Warisan di Arked Cengal, UTM Kampus Johor Bahru menjadi antara kumpulan peniaga awal yang menyediakan set Menu Rahmah di kedai mereka. Set Nasi Tomato dengan harga RM 5.00 merupakan menu yang disediakan oleh Puan Khairunnisa Bosran, pemilik kedai Warisan, pada hari pertama pelaksanaannya.
Menurut beliau, “Hidangan yang disediakan pada setiap hari ini juga akan ditukar dengan masakan berbeza yang mengandungi ayam, ikan dan sayuran termasuklah Nasi Minyak, Nasi Ayam, Nasi Hujan Panas dan lain-lain lagi. Usaha ini secara tidak langsungmampu memberikan lebih banyak pilihan menarik kepada mahasiswa yang kurang berkemampuan.
Manakala satu lagi kafe yang terlibat dalam pelaksanaan awal ini, iaitu Kafe Seth & Madihah Nasi Arab di Arked Cengal turut menawarkan set Nasi Arab sebagai Menu Rahmah dengan harga RM 5.00 kepada seluruh mahasiswa UTM yang memerlukan.
Tinjauan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UTM) di kafe-kafe yang telah mula menyediakan Menu Rahmah jelas menggambarkan sambutan hangat diberikan oleh mahasiswa UTM terhadap set menu tersebut seawal jam 10 pagi lagi. Seramai 4000 orang mahasiswa dijangka menerima manfaat daripada inisiatif pelaksanaan Menu Rahmah di UTM pada bulan pertama pelaksanaannya.
Sehubungan itu, inisiatif pengusaha-pengusaha kafe di arked UTM ini perlulah disambut baik oleh seluruh pihak dalam usaha untuk membantu meringankan beban golongan sasar terutamanya mahasiswa B40. Pihak MPP UTM juga bersedia berganding bahu bersama pihak pengurusan UTM terutama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dalam membantu untuk menghebahkan dan memantau pelaksanaan Menu Rahmah ini demi menjaga kebajikan seluruh mahasiswa UTM.