April 19, 2024

Search
Close this search box.

UTM didik murid SRISKU amalan gaya hidup lestari kurangkan pencemaran karbon

JOHOR BAHRU, 11 Feb. – Pelepasan karbon menjadi antara punca utama pemanasan global dan perubahan iklim dunia. Antara faktor yang mempengaruhi kadar pelepasan karbon ialah seperti penggunaan tenaga fosil dan elektrik, serta penjanaan sisa buangan.

Bagi memastikan generasi muda terdidik dengan amalan gaya hidup lestari, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah teraju Pensyarah Kanan Jabatan Biosains, Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Norahim Ibrahim dibantu 25 orang pelajar pascasiswazah dan prasiswazah yang bertindak selaku fasilitator telah mengadakan Program Pendidikan Amalan Gaya Hidup Lestari bertempat di SK Sri Skudai (SRISKU).

Program yang dianjurkan mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan lebih 80 orang termasuk murid-murid Tahap 2, guru-guru, ibu bapa dan kakitangan SRISKU.

Program dimulakan dengan sesi perkongsian mengenai sisa organik, kepentingan pengasingan sisa dan kesedaran rendah karbon. Perkongsian telah disampaikan oleh empat orang pelajar pascasiswazah UTM iaitu Cik Aimi Dayana Jairen, En. Mohd Amirul Mukminin Latirin, En. Mirza Hussein Sabki dan En. Mohd Fadthul Ikmal Misnal.

Selepas itu, murid-murid SRISKU dipecahkan kepada 10 kumpulan bagi sesi modul “organic versus non-organic”. Aktiviti ini telah memberikan lagi pemahaman yang berkesan kepada murid-murid bagaimana mereka mampu mengkategorikan bahan-bahan yang terdapat di persekitaran kepada bahan organik atau bahan bukan organik.

Selesai sahaja sesi modul tersebut, murid-murid diajar untuk membuat baja kompos, menggunakan sisa organik yang mudah didapati di rumah dan persekitaran masing-masing. Memandangkan ramai daripada mereka pertama kali diberi pendedahan membuat baja kompos, masing-masing dilihat agak teruja. Hasilnya, empat planter box berjaya dipenuhkan dengan pelbagai sisa seperti daun kering, telur, buah-buahan, sayur-sayuran, ayam, cebisan kotak, kulit pisang dan hampas kelapa.

Menurut Guru Penolong Kanan Kokurikulum SRISKU, En. Ashley Tan Chee Kuang, “program pendidikan seperti ini amat wajar diteruskan bagi memberi lebih kesedaran kepada generasi muda pentingnya amalan seperti reduce, reuse dan recycle (3R) demi mengurangkan penjanaan sisa yang berlebihan.

Explore More