Mei 11, 2024

Search
Close this search box.

BATU PAHAT, 31 Jan. – Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor (MKSNJ) dan Modul Keluarga Sakinah (MKS) merupakan modul kekeluargaan yang menyeluruh bagi memenuhi hasrat menjadikan Negeri Johor sebagai sebuah negeri yang berwibawa melalui pembentukan keluarga yang sejahtera.

Modul yang dibangunkan mengambil pendekatan yang bersesuaian dengan kepelbagaian masyarakat dan bangsa Johor yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama masyarakat negeri Johor yang juga disandarkan kepada falsafah dan hala tuju negeri Johor.

MKSNJ dan MKS ini telah dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik Pusat Penyelidikan Fiqh Sains & Teknologi (CFiRST) dan Fakulti Sosial Sains dan Kemanusiaan dengan kerjasama sepenuhnya oleh  Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).

Modul ini didigitalkan melalui sistem MOOC iaitu satu kursus dalam talian yang mempunyai penyertaan tanpa had dan akses terbuka. Projek MOOC-MKSNJ dan MKS ini diketuai oleh Dr. Aminudin  Hehsan, Dr. Juhazren Junaidi dan PM Dr. Mohd Fauzi bin Abu@Hussin dengan kerjasama UTM CDex dan dibiayai sepenuhnya  oleh YPKDT.

Bagi memastikan modul ini sampai kepada masyarakat, satu bengkel Training of Trainers (ToT) pegawai telah diadakan pada 29 -31 Januari 2023. Bengkel ini dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Fiqh Sains & Teknologi (CFiRST) serta pensyarah daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bengkel telah dirasmikan oleh YB Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md On, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor. Turut hadir bersama ialah Puan Nurul Naqiah Haji Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim dan PM Dr. Mohd Fauzi bin Abu@Hussin, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM.

YB Puan Hajah Khairin-Nisa binti Ismail @ Md On hadir merasmikan bengkel ToT

Bengkel yang berlangsung selama 3 hari 2 malam di Summit Signature Hotel, Batu Pahat ini melibatkan seramai 50 orang penggerak YPKDT Negeri Johor. Bengkel ini bertujuan untuk memberi panduan, bimbingan dan pemahaman kepada penggerak untuk menyampaikan kepada masyarakat awam dalam membentuk dan memperkasakan institusi kekeluargaan di negeri Johor dan seluruh masyarakat umumnya.

Di akhir program ini, diharapkan  agar penggerak mendapat input dan mampu menyampaikan modul ini kepada masyarakat dengan jayanya di kawasan lokaliti masing-masing.

YPKDT dan UTM bergambar bersama penggerak

Explore More